suria

Kerajaan N.Sembilan Dalam Proses Ambil Balik Tanah NFC

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan kini dalam proses mengambil balik tanah yang digunakan oleh Pusat Fidlot Nasional (NFC) di Gemas, dan merancang untuk mengusahakan semula ladang ternakan berkenaan.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ini sebagai usaha untuk memastikan bekalan daging cukup untuk memenuhi permintaan dalam negeri memandangkan pengeluaran daging di negeri ini kini hanya sekadar menampung 30 peratus permintaan dalam negeri sedangkan permintaan sentiasa bertambah.

"Sebelum ini pada 2007, kerajaan negeri melalui Menteri Besar Diperbadankan (MBI) telah menyewakan sebidang tanah berkeluasan 607.5 hektar kepada NFC. Cara yang akan dilakukan ini berbeza dengan cara yang dilakukan NFC kerana kita akan lakukan dengan skala kecil. 

Sebagai contoh, kita akan pecah-pecahkan kepada fidlot-fidlot yang kecil atau ladang-ladang yang kecil dan akan kita beri ladang-ladang ini kepada pengusaha ternakan yang sedia ada untuk mereka usahakan, " katanya ketika menjawab soalan lisan Abd Rahman Mohd Redza (BN-Linggi) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, Selasa.

Mohamad yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Rantau berkata kerajaan bercadang untuk menempatkan 10 penternak lembu, kambing dan kerbau di ladang ini dan mereka akan menternak bersama-sama dan menggunakan kemudahan yang ada seperti rumah sembelihan secara bersama.

 "Jika seorang penternak mengalami masalah, masih ada penternak lain yang dapat memberikan hasil," katanya.

Selain itu, katanya usaha meningkatkan pengeluaran industri penternakan turut dilakukan dengan menggalakkan sektor penternakan dan pertanian menggunakan teknologi dan kaedah-kaedah baru yang dapat mengurangkan kos operasi dan meningkatkan hasil pengeluaran.

"Usaha juga akan digiatkan lagi untuk menambah baik sistem pengumpulan produk dan kaedah penjualan bagi menjamin pasaran serta pada masa sama mengukuhkan harga yang kompetitif bagi memastikan pengusaha memperoleh pulangan hasil pendapatan yang setimpal dengan kos operasi yang dibelanjakan," katanya. 

Beliau berkata kerajaan negeri turut melaksanakan penambahbaikan kepada kawasan penternakan di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dan Ladang Satelit bagi menyediakan pengurusan sumber yang lebih berkesan dan telus melalui pengstrukturan operasi.

"Penstrukturan semula operasi dijangka akan membantu meningkatkan produktiviti penternak di mana operasi tidak lagi hanya tertumpu kepada aktiviti penternakan tetapi juga turut fokus kepada pembangunan makanan ternakan, aktiviti pembiakan ternakan dan pembangunan produk hiliran," katanya.

Katanya kerajaan turut memberi tumpuan dalam industri pertanian dan kini giat menyelaras semula aktiviti di TKPM dan Ladang Rakyat di mana ini dilakukan dengan mengusahakan tanaman bernilai tinggi secara berkelompok.

"Memaksimumkan penggunaan tanah turut menjadi strategi utama kerajaan negeri dalam memastikan pengusaha mendapat hasil maksimum dari aktiviti yang dijalankan," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain