SEOUL: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta rakyat Malaysia mencontohi semangat kental orang Korea yang berjaya memajukan negara Korea Selatan melalui naluri kelangsungan hidup yang kuat untuk berjaya. Beliau berkata naluri kelangsungan hidup itu mendorong orang Korea untuk berjaya, ditambah dengan usaha yang benar-benar fokus, menjadikan Korea Selatan dan orang Korea maju sehingga Korea Selatan menjadi sebuah kuasa ekonomi pada masa ini. "Kita lihat naluri kelangsungan hidup orang Korea amat kuat sekali, ditanam sejak mereka kecil. "Sebagai sebuah negara tak ada sumber, iklim yang sejuk, sudah tentu kalau mereka tak dapat cari sumber kekayaan dengan guna akal fikiran dan seluruh pancaindera mereka, sudah tentu mereka jadi mangsa persekitaran yang begitu 'hostile' kepada mereka," katanya semasa berucap pada majlis jamuan bersama rakyat Malaysia di Korea Selatan di sini malam Selasa. Jamuan malam itu dihoskan Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor. Najib yang tiba di sini petang ini sedang dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Korea Selatan.