suria

Pindaan Akta SPRM Berkaitan Liabiliti Korporat Dibentang Mac Depan

Mustafar Ali.
KUALA LUMPUR: Pindaan terhadap Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang akan memasukkan peruntukan baharu berkaitan 'Liabiliti Korporat, dijangka dibentangkan pada Mac tahun depan. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Paul Low Seng Kuan berkata draf pindaan akta tersebut masih di peringkat akhir.
 
"Rang undang-undang itu akan memberi kuasa mencukupi memerangi rasuah di sektor swasta. Kerajaan telah meluluskan untuk mengesahkan pindaan ini dan ia akan dibawa ke Parlimen untuk diluluskan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah di Hari Terbuka SPRM bersempena Hari Anti Rasuah Antarabangsa, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Mustafar Ali.

Low berkata pada masa ini hanya pekerja yang terbabit rasuah akan didakwa jika mereka didapati bersalah, manakala syarikat-syarikat tidak bertanggungjawab ke atas jenayah tersebut.

"Pindaan ini adalah untuk memastikan apabila seorang pekerja mengambil rasuah, syarikat terbabit boleh didakwa kerana tidak mengambil prosedur sepatutnya dalam mencegah rasuah.
 
"Ia sebenarnya akan menjadikan syarikat terbabit lebih bertanggungjawab dan ia bermulanya transformasi penuh dalam sektor perniagaan kerana mereka akan cuba untuk memastikan mereka ada prosedur sepatutnya, di setiap syarikat," katanya.

Low berkata pindaan terhadap akta itu antara lain termasuk beberapa langkah pencegahandan hukuman penalti.
 
"Kami akan menentukan beberapa langkah, contohnya kita mempunyai kod etika, penalti khusus kepada mereka yang mengambil rasuah dan program pendidikan," katanya.

Beliau berkata pindaan itu telah pun dilaksanakan di negara-negara seperti United Kingdom (UK) dan Eropah.
 
"Pindaan itu sendiri adalah untuk mencari jalan keluar kepada syarikat agar dipercayai. Kami mahu mengubah budaya dengan menggunakan undang-undang yang sama. Dan, akta ini adalah baik kepada negara kerana di Eropah atau UK, mereka mempunyai apa yang dipanggil 'bidang kuasa luar wilayah'," katanya. 

Low berkata pihaknya juga sedang melihat kepada penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Pegawai Pencegahan Rasuah dan pelantikan ketua pesuruhjaya agensi berkenaan, namun kelulusan itu mesti disokong oleh dua pertiga majoriti di Parlimen.
 
"Saya berharap dua pertiga akan menyokong terhadap pindaan ini jika dibawa ke Parlimen akan datang.
 
"Penting bagi Malaysia membina institusi yang kukuh. Kami percaya SPRM perlu diperkukuhkan, dua bidang yang kami perlu perkukuhkan, ketua pesuruhjaya dan Suruhanjaya Perkhidmatan SPRM," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain