suria

Kerajaan Akan Bertindak Habis-Habisan Tangani Pembukaan Tanah Di Lojing

Kawasan tanah tinggi Lojing diteroka pihak tidak bertanggungjawab untuk mengaut hasil alamnya yang begitu berharga.

GUA MUSANG: Kerajaan akan bertindak habis-habisan dalam menangani masalah pembukaan tanah pertanian di tanah tinggi Lojing di sini, yang tidak terkawal sehingga mengakibatkan kemusnahan alam sekitar yang teruk.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim menyifatkan kemusnahan yang berlaku itu boleh menyebabkan kejadian tanah runtuh pada bila-bila masa.

Keberanian pengusaha tanaman sayuran di kawasan itu tidak mengendahkan peraturan ditetapkan pihak berkuasa, dipercayai kerana mereka dilindungi ketua-ketua kumpulan samseng, katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan tanah tinggi Lojing petang Rabu.

Shahidan berkata, Jabatan Alam Sekitar(JAS), Jabatan Pertanian, Pejabat Tanah dan Jajahan serta agensi penguatkuasa lain yang berkaitan perlu mengambil tindakan lebih tegas tanpa rasa tergugat berdepan dengan kumpulan samseng.

"Yang lebih penting kita tunaikan kewajipan untuk menangani perkara itu kerana jika tidak bertindak demikian sudah tentu Lojing akan hancur," katanya.Shahidan berkata, pengusaha terbabit hanya mementingkan hasil lumayan tanpa mengambil kira tindakan mereka itu merosakkan alam sekitar walaupun sesetengah kawasan yang mereka usahakan mempunyai lesen sah.

Katanya, dahulu air sungai di Lojing adalah jernih tetapi sekarang bertukar keruh dan berselut akibat pembukaan tanah tidak mengikut peraturan.

Selepas ini, Shahidan berkata, beliau akan berbincang dengan kerajaan negeri Kelantan supaya tindakan tegas dapat diambil terhadap mereka yang melakukan kemusnahan alam sekitar di Lojing.


Lojing, Shahidan Kassim, tanah

Artikel Lain