suria

Kekuatan Mata Hati

Penulis bersama Hasnah (kiri) serta jemaah yang bersama menunaikan umrah pada 2009.

Salam perkenalan. Menerusi ruangan ini, mari kita sama-sama mengambil iktibar dan redha atas segala kemungkinan yang berlaku.

Diundang sebagai tetamu Allah untuk mengerjakan ibadat umrah mahupun haji tentu sekali paling dinanti-nantikan oleh setiap umat Islam.

Justeru, apabila dijemput ke rumah Allah, pelbagai persiapan mental dan fizikal perlu dilaksanakan.

Sebelum kaki melangkah ke Tanah Suci, kesihatan diri perlu dijaga rapi. Selain menjaga makan minum dan mengambil suplemen, senaman ringan sangat digalakkan sebagai persediaan untuk menyempurnkan ibadat umrah, terutama tawaf dan saie.

Pengalaman sebagai tetamu Allah ketika mengerjakan haji dan umrah tidak dapat saya lupakan selagi hayat dikandung badan. Pelbagai perasaan bermain di fikiran.

Tidak kiralah, sama ada saya sebagai jemaah ataupun petugas, cabaran  dan ujian perlu dilalui dengan penuh kesabaran serta redha atas setiap ketentuan.

Peluang membawa jemaah wanita cacat penglihatan benar-benar terkesan di sanubari saya. Hasnah Hussin, berusia dalam lingkungan 50-an bersemangat kental apabila diundang sebagai tetamu Allah. Kunjungan kali pertama beliau ke Tanah Suci pada April 2009 menyimpul 1,001 pengertian kepada ibu empat cahaya mata ini.

Bersama-sama tiga waris, iaitu anak bujang, adik perempuan dan adik ipar lelaki, Hasnah sentiasa berkobar-kobar untuk menziarahi kota Madinah dan menyempurnakan ibadat umrah.

Setelah melalui perjalanan hampir sembilan jam dalam pesawat, seramai 27 jemaah tiba di Lapangan Terbang King Abdul Aziz di Jeddah.

Selesai urusan bagasi, semua jemaah diminta menaiki bas untuk berangkat ke Madinah.

Perjalanan ke bumi bersemadinya jasad Rasulullah SAW itu mengambil masa kira-kira enam jam dari Jeddah.

Hampir jam 4 pagi, kami tiba di depan hotel bertaraf empat bintang ketika itu, Safir al-Saha.

Setelah urusan daftar masuk selesai, jemaah dinasihatkan membersihkan diri sebelum menunaikan solat Subuh berjemaah di Masjid Nabawi.

Pada hari kedua di kota bercahaya dan bermandikan ketenangan itu, jemaah menziarahi tempat bersejarah seperti Masjid Quba’, Masjid Qiblatain, makam syuhada Uhud dan kebun tamar.

Kunjungan ke Raudah di dalam Masjid Nabawi usah dilepaskan begitu sahaja. Biarpun terpaksa menunggu giliran mengikut setiap negara dan bersesak dengan jemaah lain, peluang bersolat dan berdoa di kawasan itu wajar direbut.

Kunjungan ke Raudah bersama-sama kak Hasnah membuka mata saya mengenai kekuatan wanita berasal dari Perak ini.

“Kalau kakak nak pergi Raudah dan ziarah makam Rasulullah, kita tak boleh balik hotel selepas solat Zuhur dan makan tengah hari mungkin lewat atau terpaksa dikorbankan,” ucap saya selepas ziarah sekitar Madinah.

Saya bimbang dia keletihan selepas ziarah tempat bersejarah tetapi jangkaan saya meleset kerana dia bersungguh-sungguh untuk melawat makam Nabi pula dan bersama-sama saya untuk ziarah ke makam Baginda Rasul pada ketika itu ialah empat lagi jemaah, iaitu adik Hasnah, dua teman sebiliknya dan seorang lagi jemaah warga emas.

Syukur, giliran kami untuk ziarah makam dipermudahkan kerana pengawal wanita bersimpati dengan keadaan Hasnah. Sejurus tiba di makam, saya mengingatkan beliau untuk memberi salam kepada Rasulullah dan dua sahabat Baginda, iaitu Saidina Abu Bakar al-Siddiq dan Saidina Umar al-Khattab.

Saya memberi salam kepada Rasulullah dan kak Hasnah mengikut. Saya tidak mampu membendung perasaan dan menangis semahu hati saya tatkala melihat air mata kak Hasnah mengalir deras membasahi pipinya.

Saya bergerak perlahan sambil memaut lengan kak Hasnah untuk bersolat sunat dan berdoa di Raudah. Saya maklumkan kepada kak Hasnah bahawa kakinya memijak permaidani hijau dan di situlah terletaknya Raudah serta menyuruhnya berdoa.

Dia bertanya saya mahu apa ketika menadah tangan berdoa. Dengan hati penuh sebak dan air mata berlinangan saya meminta dia mendoakan saya dijemput ke Tanah Suci saban tahun. Air matanya berlinangan. Saya tidak mampu menampung air mata yang terus mengalir.

Dalam hati saya berkata, kak Hasnah tidak mampu melihat makam Rasulullah dan sahabat, mimbar, mihrab serta Raudah tetapi dia juga gagal mengawal emosi seperti jemaah yang celik. Itu kekuatan mata hatinya.

Dia turut berdoa dan bersolat sunat di situ biarpun terpaksa bersesak dan berhimpit dengan jemaah lain. Selepas itu, pulanglah kami ke hotel penginapan yang terletak kira-kira 70 meter dari perkarangan Masjid Nabawi.

Tiba di hotel dengan keringat membasahi dahi. Suhu ketika itu sekitar 35 darjah Celsius dengan canas kering dan berangin. Itulah keadaan di Madinah pada hujung April.

Saya memimpin kak Hasnah naik ke paras dewan makan untuk meninjau sama ada masih berbaki makanan atau tidak. Alhamdulillah, rezeki menyebelahi kami kerana makanan dan pencuci mulut masih sempat dinikmati.

Genap empat hari tiga malam di Madinah, tibalah masanya saya dan jemaah lain memasuki Makkah. Terasa pantas masa berlalu dan sedih untuk berpisah dengan Rasulullah.

Gamitan Makkah semakin hampir. Pada sebelah pagi saya mengingatkan jemaah wanita agar mandi sunat ihram dan membersihkan diri sebelum memasang niat ihram di Masjid Bir Ali, yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari Masjid Nabawi.

Hasnah (kiri) bersama adiknya ketika menziarahi Masjid Quba' di Madinah

Saya masuk ke dalam kamar kak Hasnah dan melihat baring di atas katil dengan berpakaian serba putih.

“Kak pakai baju apa nanti? Soal saya.

“Baju ini lah…” jawabnya ringkas sambal menunjukkan blaus labuh putih dan seluar longgar putih.

“Kenapa tak pakai jubah?” soal saya lagi.

“Ana pakai jubah ke?” balas beliau menyoal sambil tanggannya meraba-raba lengan baju saya.

“Cantik baju Ana. Beli di mana?” tanya beliau bersungguh.

“Ibu Ana belikan di Makkah,” jawab saya ringkas.

“Akak pun nak pakai jubahlah. Nak suruh adik belikan di sini. Sempat tak?” soal beliau lagi.

“Boleh. Sempat lagi. Di bawah hotel kita duduk ada kedai jubah,” balas saya terus.

Usai solat Zuhur semua jemaah berkumpul di lobi hotel menantikan kedatangan bas untuk ke Makkah.

Kak Hasnah kelihatan berjubah hitam dan rapi bertelekung sulam. Terpancar keterujaan pada wajah jemaah yang bakal melangkah ke Baitullah.

Hampir pukul 3 petang, bas tiba di depan hotel dan setelah semua bagasi beres dimuatkan di dalam perut bas, kami meninggalkan kota Madinah.

Tiba di Makkah pada lewat malam. Selesai urusan daftar masuk hotel dan menikmati makan malam, semua jemaah berkumpul di lobi hotel untuk beramai-ramai menyempurnakan umrah. Segala-galanya berjalan lancar mengikut jadual.

Sebagaimana lazim, lokasi bersejarah di sekitar Makkah, umrah sunat dan tawaf sunat turut dilaksanakan oleh jemaah mengikut kadar kemampuan. Saya berjanji kepada kak Hasnah hendak membawanya ke Hijir Ismail, Multazam dan memegang Kaabah.

Dengan penuh kekuatan, kak Hasnah memasuki Hijir Ismail dan berdoa berhampiran Multazam. Sekali lagi saya melihat reaksinya. Dia menangis hiba penuh kesyukuran kerana dapat berdoa di kedua-dua tempat itu.

Tangannya turut menyentuh Kaabah dan memuji keindahan Kiswah walaupun pada hakikatnya tidak mampu melihat Baitullah yang tersergam megah.

Kunjungan kali pertama itu bukan yang terakhir bagi kak Hasnah kerana dia menanam azam untuk menunaikan ibadat haji pada masa akan datang. Mudah-mudahan doanya dikabulkan.

Begitulah kebesaran Yang Esa, kekurangan pada diri seseorang itu bukanlah penyebab untuk kita berputus asa atau sekadar berserah, malahan kekuatan mata hati melebihi segala-galanya.

umrah, saie, Madinah, tamar, Kaabah

Artikel Berikut

Artikel Lain