KUALA TERENGGANU: Jabatan Pertanian Negeri Terengganu mengambil langkah drastik dengan melakukan pemantauan dan pemeriksaan bagi menentukan 'Rumpai Miang Mexico' tidak merebak ke negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi Negeri, Nawi Mohamad berkata, arahan telah dikeluarkan kepada semua pegawai pertanian daerah dan negeri untuk melakukan pemantauan. "Setakat ini kita belum menjumpai rumpai berkenaan (nama saintifik: 'Parthenium Hysterophorus') di negeri ini. "Tindakan drastik ini diambil bagi memastikan tidak ada individu di negeri ini yang terkena rumpai berkenaan. "Rumpai tersebut mempunyai bahan kimia dan boleh memberi kesan kesihatan seperti alahan dan ruam," katanya kepada Bernama di sini, Sabtu. Minggu lalu, beberapa pekerja ladang kelapa sawit di Sidam, Kedah dilaporkan mengalami alahan pada kulit dan gangguan pada sistem pernafasan dipercayai terkena rumpai tersebut. Rumpai miang Mexico adalah sejenis tumbuhan liar berasal dari beberapa negara di Amerika Selatan dan Utara sebelum tersebar ke Asia. Ia dikatakan berbahaya kerana boleh memberi kesan teruk kepada ekosistem semula jadi, sektor pertanian dan ternakan selain kesihatan manusia.