SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata, laporan audit berhubung pembayaran pampasan kepada beberapa pegawai bekas menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan dibentangkan Perbadanan Menteri Besar (MBI) kepadanya minggu ini. Mohamed Azmin berkata, pihaknya akan meneliti keputusan laporan siasatan pembayaran tersebut yang didakwa tidak mematuhi prosedur, sebelum sebarang tindakan susulan diambil. "Mereka (Lembaga Pengarah MBI) telah pun menyiasat perkara itu dan laporan tersebut akan dibentangkan kepada saya dalam minggu ini untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan kakitangan kerajaan Selangor di sini, Isnin. Sebelum ini, lapan pegawai kontrak bekas menteri besar itu yang dilantik MBI dilaporkan menerima bayaran pampasan kerja bernilai RM2.6 juta. Pembayaran itu disifatkan pelbagai pihak termasuk anggota Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad sebagai tidak munasabah. Pembayaran itu didakwa telah dibuat pada penghujung tempoh perkhidmatan Abdul Khalid sebelum Mohamed Azmin mengambil alih jawatan menteri besar berkuat kuasa 23 September lepas. Bagaimanapun Abdul Khalid berkata pembayaran pampasan itu mengikut skim pemberhentian sukarela (VSS), mematuhi peraturan dan prosedur MBI Selangor. Sementara itu, Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor (DUN), Hannah Yeoh mencadangkan Barisan Nasional (BN) negeri agar melantik anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeram, Datuk Amiruddin Setro sebagai ketua pembangkang yang baharu. Beliau berkata, Amiruddin merupakan calon yang layak menyandang jawatan itu berdasarkan senioriti dan kapasitinya sebagai ahli jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Selangor (PAC). Di bawah peraturan tetap DUN Selangor yang baru dipinda, ketua pembangkang juga menjadi pengerusi PAC. Jawatan ketua pembangkang Selangor kosong berikutan Datuk Mohd Shamsuddin Lias meletakkan jawatan pada 8 Disember lepas, kerana enggan menerima pelantikannya sebagai pengerusi PAC.