KUALA LUMPUR: Seorang kontraktor pembinaan dan sepupunya pada Selasa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menculik seorang peniaga dengan tujuan membunuh, bulan lepas. K.Arul Nathan, 41, dan pemandu lori A.Laurence, 21, bersama dua lagi rakan yang masih bebas didakwa dengan niat bersama menculik Davic Vartan, 33, seorang lelaki warga India, supaya dia dibunuh di No. 126, Tingkat 1, Jalan 2/3A, Pusat Bandar Utama, Sentul di sini pada 6.10 petang, 12 Nov lepas. Mereka didakwa mengikut Seksyen 364 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman mati atau penjara maksimum 30 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan. Timbalan Pendakwa Raya Siti Aisyah Ahmad tidak menawarkan jaminan atas alasan kesalahan itu serius dan kebarangkalian tertuduh mengganggu saksi pendakwaan adalah tinggi kerana kejadian culik itu berlaku di premis perniagaan mangsa. Peguam P. Suresh, yang mewakili kedua-dua tertuduh, memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin atas alasan Arul Nathan dan Laurence merupakan penanggung tunggal keluarga. Hakim Ahmad Bache tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 15 Jan untuk sebutan.