suria

K'jaan Hasrat Laksana Permohonan Pekerja Asing Secara Online

KUALA LUMPUR: Kerajaan berhasrat untuk melaksanakan permohonan pengambilan pekerja asing secara dalam talian bagi memudahkan majikan mengemukakan permohonan tanpa perlu hadir ke Pusat Kelulusan Setempat (OSC), Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata bagaimanapun perkara itu masih dalam peringkat kajian dan penelitian, memandangkan proses pengambilan pekerja asing melibatkan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan.

"Sistem ini juga dijangka akan mengambil kira pengurusan pekerja asing secara holistik merangkumi Agensi Kawal Selia, peringkat pelaksanaan, pemantauan dan juga penguatkuasaan," katanya menjawab soalan Senator Datuk Chai Kim Sen dalam sesi soal-jawab pada persidangan Dewan Negara, Selasa.

Chai ingin tahu langkah kerajaan untuk meringankan bebanan para pengusaha industri perkilangan, pertanian dan perladangan dalam proses permohonan untuk mengupah pekerja asing.

Wan Junaidi berkata kerajaan sentiasa peka terhadap keperluan majikan mengambil pekerja asing untuk beroperasi dan atas sebab itu kerajaan menubuhkan OSC mulai 1 Ogos 2005 yang menempatkan pegawai daripada Agensi Kawal Selia secara sepenuh masa mengikut sektor.

Bagaimanapun, Wan Junaidi berkata prosedur pengambilan pekerja asing turut melibatkan komitmen majikan untuk mempercepatkan proses pengambilannya dan majikan harus memenuhi semua syarat Agensi Kawal Selia.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata sehingga kini, seramai 1.3 juta pekerja asing di Semenanjung telah membuat saringan pemeriksaan kesihatan.

"Hasil daripada ujian saringan kesihatan, hampir tiga peratus yang gagal (saringan) dan kita akan rujuk mereka kepada Jabatan Imigresen untuk dihantar balik ke negara asal," katanya menjawab soalan Senator Tan Sri Abdul Rahim Abdul Rahman.

Abdul Rahim ingin tahu sama ada pemeriksaan kesihatan yang diwajibkan kepada pekerja asing mencukupi untuk membendung daripada merebaknya penyakit kritikal seperti batuk kering, kusta dan sebagainya.


KDN, Warga Asing, Imigresen, Dewan Negara

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain