suria

Warga Myanmar Dalang Pati

BUKIT KAYU HITAM: Sebanyak 76 orang pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Myanmar ditahan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kedah di sebuah rumah kosong di Kampung Padang Satu di sini pagi Selasa.

Tangkapan dilakukan 11 anggota risik UPP Bukit Kayu Hitam kira-kira pukul 9 pagi selepas menerima maklumat daripada orang awam yang melihat sekumpulan warga asing dalam rumah tersebut.

Timbalan Komander (Operasi) UPP Kedah, Noor Mohamed Shaik Alauddin berkata hasil pemeriksaan kemudiannya mendapati 65 Pati lelaki serta tujuh wanita tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah sementara empat lagi memiliki dokumen perjalanan tamat tempoh.

Beliau berkata kesemua Pati berumur antara 17 hingga 61 tahun itu dipercayai dibawa dari Johor Baharu, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kulim yang dikumpulkan sindiket didalangi seorang warga Myanmar yang telah lama tinggal lama di negara ini.

Setiap Pati diapor dikenakan bayaran antara RM500 hingga RM950 untuk proses penyeludupan keluar dari negara ini, tambahnya.

"Rata-rata Pati tinggal di negara ini antara dua hingga tiga tahun secara tidak sah. Mereka takut dan mahu keluar dari negara ini selepas pihak berkuasa membanteras Pati habis-habisan," katanya pada sidang media di Pejabat UPP Bukit Kayu Hitam di sini.

Noor Mohamed berkata semua Pati tersebut dipercayai berkumpul di rumah kosong itu sejak malam tadi selepas mereka diambil oleh sindiket di Changlun, dengan menaiki bas sebelum dibawa ke lorong tikus untuk memasuki Thailand.

Beliau berkata mereka ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63(Pindaan 2002) dan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana tinggal lebih masa di negara ini.

Katanya kes akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut dan Noor Mohamed berkata sejak 1 Januari hingga kini, seramai 274 Pati di tahan di Kedah dan sebahagian besarnya adalah warga Myanmar.

Katanya trend kemasukan Pati ke negara ini disebabkan berlakunya kekacauan di negara mereka yang memaksa mereka keluar dari negara itu.

"UPP bersama agensi penguatkuasa lain akan bekerja keras dalam memastikan tidak ada Pati yang dapat masuk ke negara ini dengan pemantauan di pintu sempadan dan di lorong-lorong tikus," katanya.

Mynamar, Imigresen, UPP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain