suria

Kanak-Kanak 11 Tahun Jadi Mangsa Cabul Di Kedai Runcit

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dicabul oleh lelaki warga Myanmar di sebuah kedai runcit di Kajang ketika keluar membeli telur ayam.

Mangsa, pergi ke sebuah kedai di Jalan Sungai Segamat kira-kira pukul 10.15 pagi Selasa membeli telur ayam untuk ibunya tetapi lelaki tersebut yang juga pekerja di kedai tersebut mencabulnya.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata lelaki tersebut menarik kanak-kanak perempuan itu sebelum menyentuh alat kemaluannya.

"Kanak-kanak perempuan itu berlari pulang ke rumah dan memberitahu ibunya.

"Ibu mangsa kemudiannya membawa kanak-kanak tersebut ke sebuah balai polis berdekatan dan membuat laporan polis," katanya ketika dihubungi.

Ab Rashid berkata polis pergi ke kedai runcit tersebut dan mencari suspek tetapi dia berjaya melarikan diri.

"Kami masih memburu suspek. Kami percaya dia masih di kawasan berdekatan. Kami memerlukan sedikit masa untuk menangkapnya," kata Ab Rashid.

cabul, kedai runcit, Myanmar

Artikel Sebelum

Artikel Lain