PENAMPANG: Dua maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Bulatan Sigar dekat Donggongon di sini, pagi Rabu. Kemalangan pada kira-kira jam 11.45 pagi itu membabitkan dua motosikal, sebuah pacuan empat roda serta sebuah lori treler. Difahamkan, dua mangsa yang meninggal dunia adalah penunggang dan pembonceng motosikal, masing-masing lelaki dan wanita. Tiga mangsa yang cedera termasuk seorang dilaporkan parah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (QEH) untuk rawatan lanjut. Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 11.49 pagi sebelum menghantar sepasukan anggota ke lokasi.