KOTA KINABALU: Pengerusi Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah Datuk Seri Lajim Ukin berkata Dr Roland Chia masih lagi Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam. "Buat sementara waktu ini, ini khabar anginlah sehinggalah kita memperolehi pengesahan (mengenainya). Saya sudah periksa dengan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah (Datuk Seri Dr Salleh Tun Said) dan (saya) dimaklumkan tidak ada perletakan jawatan (ADUN)," katanya. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Dr Chia daripada PKR di dalam laman Facebooknya yang menyatakan hasrat meletakkan jawatan atas faktor kesihatan. Lajim juga tidak menolak kemungkinan akaun Facebook ADUN Inanam berkenaan digodam. Menurut Lajim minggu lepas dia dan Dr Chia bersama-sama menghadiri satu mesyuarat namun ADUN Inanam berkenaan langsung tidak menyebut mengenai hasratnya untuk meletak jawatan. Sementara, Chia masih belum dapat dihubungi bagi mendapatkan penjelasan lanjut darinya dan difahamkan beliau berada di luar negara. Speaker Dun Sabah, Datuk Seri Salleh Tun Said ketika dihubungi Bernama juga mengesahkan pihaknya belum menerima surat perletakan jawatan daripada Dr Chia. Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 tahun lepas Dr Chia mendapat 8,926 undi dengan majoriti 3,202 undi menewaskan Eric Majimbun dari Parti Maju Sabah (SAPP) yang mendapat 5,003 undi dan Joseph Paulus Lantip dari Barisan Nasional yang memperoleh 5,724 undi.