KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka mengumumkan harga baharu minyak RON95 dan RON97, pada kadar yang lebih rendah berikutan kejatuhan harga minyak global, pada 31 Disember ini. Timbalan Menteri Kewangan 1 Datuk Ahmad Maslan berkata kadar itu belum dapat diumumkan pada masa ini memandangkan kerajaan masih mengkajinya. Beliau berkata, berikutan penurunan harga minyak itu, peniaga diminta menurunkan harga barang keperluan harian memandangkan harga barang masih tinggi dan belum diturunkan walaupun harga bahan api sudah diturunkan sebelum ini. Bagi menangani isu berkenaan, kerajaan mengenal pasti 10 syarikat yang mendominasi 80 peratus pasaran barangan keperluan di Malaysia, untuk berbincang menurunkan harga barangan, katanya. "Saya berharap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi (KPDNKK) mengambil tindakan berjumpa dengan sepuluh syarikat berkenaan untuk berbincang, daripada terus mengenakan tindakan disiplin menerusi Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011, kerana ia memberi kesan kepada kos pembelian barangan oleh pengguna. "Yang menjadi masalah, walaupun harga minyak diturunkan namun pengilang, peniaga dan pengusaha masih mengekalkan harga yang sama atau menaikkan harga sedangkan mereka boleh menurunkannya berikutan kos perniagaan sudah dapat diturunkan," katanya pada pelancaran Strategi Baharu Korporat Malaysia Debt Ventures Bhd (MDV), Khamis. Mengenai pendaftaran untuk pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Ahmad berkata, sejumlah 224,813 syarikat sudah mendaftar, dan angka ini sudah melebihi sasaran awal 150,000 syarikat sehingga hujung Disember. Angka ini dijangka terus meningkat sebelum pelaksanaan CBP mulai 1 April 2015. "Pada peringkat awal, kerajaan hanya menyasarkan 150,000 syarikat mendaftar pada akhir Disember, dan berpotensi menjana RM23 bilion perolehan, dan berdasarkan perkembangan angka yang mendaftar ketika ini, perolehan juga dijangka dapat ditingkatkan," katanya.