KUALA LUMPUR: Pekerja besi buruk yang merogol anak tirinya yang berusia 12 tahun berulang kali sejak setahun lalu dihukum 12 tahun penjara dan lapan sebatan. Hakim Mahkamah Sesyen Ampang, Unaizah Mohd membacakan penghakiman terhadap lelaki berusia 34 tahun yang mengaku bersalah pada Jumaat kerana merogol budak perempuan itu di Kampung Cheras Baru, Ampang pada 4 petang, 10 Disember lalu. Berdasarkan fakta keterangan, ibu mangsa membuat laporan polis pada 12 Disember selepas mangsa mendedahkan perbuatan bapa tirinya dirogol beberapa hari sebelum itu. Laporan itu menyebut, mangsa sedang menonton televisyen apabila bapa tirinya mengarahkannya masuk ke bilik tidur dan membuka pakaiannya sebelum merogol budak perempuan itu. Kondom yang digunakan untuk melakukan perbuatan itu kemudian dibuang dalam tong sampah. Menurut mangsa, bapa tirinya mula merogolnya kira-kira setahun lalu, sebelum dia mendedahkan perkara itu. Timbalan Pendakwa Raya, Nur Akmal Farhan meminta mahkamah mengenakan hukuman berat terhadap perbuatan terkutuk lelaki itu terhadap seorang kanak-kanak. "Bukan sahaja mangsa masih dibawah umur, malahan pihak yang merogolnya adalah bapa tirinya, seorang yang sepatutnya menjaga dan melindungi mangsa. "Saya menggesa mahkamah untuk mengenakan hukuman penjara yang lama supaya dia jauh daripada mangsa dan masyarakat," katanya. Beliau menambah, hukuman yang berat ini juga perlu sebagai pengajaran kepada masyarakat bahawa jenayah sedemikian tidak seharusnya mendapat pengampunan. Lelaki yang tampil tanpa perasaan bimbang sepanjang prosiding itu mendorong hakim Unaizah bertanya sama ada dia rasa bersalah atau tidak atas perbuatannya itu. "Kamu tidak menunjukkan sebarang kekesalan atas apa yang berlaku, malah tidak berkata kami telah bertaubat," katanya. Sebaik mendengar kata-kata hakim itu, lelaki berkenaan menjawab dia sudah insaf atas apa yang berlaku. Lelaki yang tidak diwakili peguam itu mengaku bersalah dan berkata dia melalui kehidupan yang susah serta menjadi penyumbang pendapatan tunggal bagi keluarganya serta ibunya di kampung. Lelaki itu juga didakwa kerana meliwat anak perempuannya yang berusia tiga tahun. Dia mohon dibicarakan atas kesalahan yang berlaku di Kampung Cheras Baru, Ampang pada 4 petang, 10 November lalu. Bagi kesalahan ini, lelaki itu berhadapan hukuman 20 tahun penjara dan sebatan jika bersabit kesalahan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana meliwat. Timbalan Pendakwa Raya, S Purnima menggesa mahkamah tidak mengenakan ikat jamin kerana perbuatannya terhadap anak kandungnya. Hakim Unaizah menolak sebarang ikat jamin dan menetapkan 22 Januari ini untuk kes itu didengar.