suria

GST Dikenakan Bagi Sesetengah Perkhidmatan Urusan Bank

PETALING JAYA: Pelanggan bank perlu membayar caj tambahan untuk beberapa perkhidmatan urusan bank sebaik sahaja Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan pada 1 April depan.

Menurut Kementerian Kewangan menerusi laman Facebooknya pada Jumaat, caj perkhidmatan oleh bank akan tertakluk kepada GST dan oleh itu pelanggan perlu membayar caj tambahan sebanyak 6%.

"Sebarang bayaran yang dikenakan oleh bank seperti caj MEPS, akan tertakluk kepada GST.

"Sebagai contoh, sekiranya pemegang kad Maybank membuat pengeluaran wang dari mesin ATM CIMB, caj MEPS adalah sebanyak RM1 dan kadar GST yang dikenakan adalah RM0.06," demikian menurut kementerian itu.

Namun, kementerian tersebut berkata, kadar GST tidak akan dikenakan terhadap jumlah wang yang dikeluarkan iaitu RM100 ke atas.

Sementara itu, menurut laman web rasmi GST, pelanggan juga akan dikenakan caj GST bagi bayaran untuk insurans atau buku cek, penyediaan penyata bank, pemprosesan pinjaman, perkhidmatan arahan tetap dan perkhidmatan penyelenggaraan berhubung pembelian dan penjualan saham.

Walaupun GST dikenakan ke atas bayaran yang dikenakan, jumlah sebenar terlibat dalam transaksi seperti jumlah pengeluaran dan faedah yang dibayar untuk pinjaman tidak akan terjejas disebabkan cukai itu.



Artikel Lain