suria

Jalan Sultan Sedia Ruang Penjaja Muda

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam proses mengubahsuai Jalan Sultan menjadi laluan penjaja di kalangan peniaga muda.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, Jalan Petaling berdekatan kini didominasi oleh golongan peniaga generasi lama, menyebabkan ruang untuk peniaga muda adalah kecil di situ.

"Peniaga berusia ini tidak lagi berminat untuk bekerja, jadi mereka mengambil jalan muda dengan menyewakan premis atau warung mereka kepada warga asing antara RM5,000 hingga RM8,000.

"Berdasarkan kaji selidik yang dijalankan, didapati lebih 100 gerai di Jalan Petaling yang dikendalikan warga asing dan perkara ini perlu segera ditangani," katanya.

Ahmad Phesal berkata, Jalan Sultan dilihat sebagai lokasi strategik untuk menarik pengunjung yang ramai, selain berpotensi untuk mengembangkan sektor pelancongan.

"Bagaimanapun, projek ini masih di peringkat perbincangan, terutama berkaitan kesesakan lalu lintas," katanya selepas mesyuarat bulanan bersama Ahli Parlimen Kuala Lumpur di ibu pejabat DBKL.

Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun berkata, penutupan Jalan Sultan akan memberi kesan kepada trafik, termasuk dengan adanya lima sekolah di kawasan berhampiran.

"Projek itu belum muktamad, jadi saya tidak pasti apakah perancangannya yang sebenar, sama ada ia akan hanya ditutup pada waktu tertentu sahaja atau mengikut jadual ditetapkan," katanya.

Pengerusi MCA Wilayah Persekutuan, Datuk Yew Teong Look berkata, selain trafik, aspek lain yang perlu diambil kira adalah permintaan untuk berniaga di kalangan peniaga muda, pendapat pemilik premis di Jalan Sultan serta Jalan Petaling dan langkah menaiktaraf Jalan Alor yang akan bermula 19 Februari ini.

Jalan Sultan, penjaja, DBKL

Artikel Lain