PEKAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyarankan agar syarikat tempatan memperluaskan pemasaran teknologi berkhatan bukan sahaja di dalam negara tetapi juga mengeksportnya berikutan amalan itu kini turut mendapat sambutan di luar negara. Najib berkata, amalan berkhatan bukan sahaja diwajibkan di kalangan agama Islam tetapi juga agama lain seperti agama Yahudi. "Malah di negara kita, orang bukan Islam pun menganggap berkhatan sebagai amalan yang baik dan patut dilakukan oleh mereka," katanya semasa berucap merasmikan majlis berkhatan beramai-ramai peringkat Parlimen Pekan di sini, Sabtu. Majlis anjuran Biro Agama Umno Bahagian Pekan dan Biro Agama Umno Malaysia itu turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob. Najib berkata, jika dahulunya orang yang paling ditakuti kanak-kanak ialah Tok Mudin atau tukang khatan kerana melakukan khatan secara tradisional tanpa ubat bius, namun dengan adanya teknologi terkini spserti 'Flushcutter, Tara Clamp, Sunathrone dan Laser Carbondioxcide', rasa sakit kerana berkhatan dapat dikurangkan. Kata orang-orang tua dahulu, sakit berkhatan ini bagai digigit semut sahaja, namun Alhamdulillah dengan peredaran zaman, pelbagai teknologi termasuk menggunakan laser, dapat mengurangkan sakit berkhatan. "Dahulu rendam dalam kolam dan sungai sebelum Subuh dengan tujuan untuk kurang pengeluaran darah, kecutkan kulit dan suci diri sebab itu mandi beramai-ramai dijalankan dan kita tidak nafikan trauma kanak-kanak semasa melalui kaedah lama itu," kata Najib. Katanya, penggunaan teknologi berkhatan moden seperti Sunatech hasil kajian anak tempatan adalah antara contoh teknologi terkini berkhatan yang bukan sahaja mampu mengurangkan rasa sakit tetapi juga mudah dan selamat. "Malah ia hanya mengambil masa 10 minit untuk satu sesi dan merupakan satu kaedah mudah, tiada jahitan, tiada balutan dan tidak sakit. "Kanak-kanak yang melakukan khatan melalui kaedah ini juga dikatakan boleh melakukan aktiviti rutin harian seperti mandi serta bersolat dan ia amat sesuai untuk dieksport ke luar negara," katanya. Najib berkata, kerajaan bersedia bekerjasama dengan syarikat terbabit untuk memperluaskan kaedah berkhatan ini di kampung dan kawasan luar bandar terutama di tempat yang sukar dilawati doktor. Sementara itu, sebanyak 328 kanak-kanak dari sekitar Parlimen Pekan terlibat dalam program dua hari, berkhatan secara percuma itu. Untuk program hari ini sebanyak 120 orang akan dikhatankan di Baitul Rahah manakala selebihnya 208 orang akan dikhatankan esok, dengan bantuan 10 doktor dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dibantu 70 anggota ATM yang lain.