suria

Najib Lawat Mangsa Banjir Di SMK Gudang Rasau

Najib meriba Raykal Mohd Zamri, 8 bulan, sambil diperhati oleh ibunya Shahnorizan dan Mohd Zamri ketika melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Banjir Sekolah Gudang Rasau di sini, Sabtu.

KUANTAN: Trauma seorang mangsa banjir yang terpaksa mengharungi arus deras dengan air di paras pinggang sejauh 50 meter sambil mendukung bayi lelakinya berusia lapan bulan, terubat apabila menerima kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Shahnorizan Zamding, 31 yang ditempatkan di pusat pemindahan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gudang Rasau bersama suaminya Mohd Zamri Abdul Wahid, 38, dan empat anaknya yang berumur 11 hingga lapan bulan, tidak menyangka pemimpin nombor satu negara itu sanggup turun padang bertanya khabar mereka.

"Rasa terharu, Perdana Menteri datang bertanya khabar dan beliau sempat menanyakan sama ada kami telah menerima bantuan banjir tahun lepas," katanya ketika ditemui pemberita selepas lawatan Najib ke pusat pemindahan itu di sini, Sabtu.

Najib bersama Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob meluangkan masa lebih setengah jam bertanya khabar kepada mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan itu sejak malam Rabu lepas.

Perdana Menteri turut meninjau kemudahan yang disediakan untuk mangsa banjir di pusat pemindahan itu yang menempatkan 145 mangsa daripada 39 keluarga dari beberapa buah kampung berhampiran Sungai Belat.

Bagaimanapun, Shahnorizan yang tinggal di Kampung Air Hitam, Sungai Belat berkata, banjir tahun ini tidak seburuk tahun lepas yang menyebabkan hampir keseluruhan rumahnya ditenggelami air.

Bagi seorang warga emas, Rokiah Mahmud, 70, beliau turut rasa gembira walaupun gugup setelah disapa Perdana Menteri.

"Terima kasih sebab Perdana Menteri sudi jenguk kami di pusat pemindahan dan makcik ucap terima kasih juga sebab kemudahan yang disediakan untuk kami mangsa banjir di sini lengkap termasuk bekalan makanan dan perubatan," katanya.

Beliau yang juga tinggal di Kampung Air Hitam berkata hampir setiap tahun rumahnya di kampung tersebut dinaiki air.

Rokiah yang mempunyai 10 orang anak berpindah di pusat pemindahan tersebut sejak petang Khamis lepas setelah rumahnya dinaiki air sehingga paras dada.

Artikel Lain