PUTRAJAYA: Lebih 200 patung panda 'menawan' Dataran Putrajaya di sini, Selasa melalui program '1,600 Panda Jelajah Dunia' bertujuan mewujudkan kesedaran tentang ancaman kepupusan yang dihadapi haiwan itu. Kehadirannya menarik beratus-ratus pengunjung untuk melihat dari dekat patung dengan pelbagai gaya serta saiz yang dihasilkan daripada kertas itu sambil menonton persembahan 'flash mob' dalam program yang berlangsung di hadapan Kompleks Perbadanan Putrajaya dari 10 pagi hingga 12 tengah hari. Berikutan keadaan cuaca dan ruang yang tidak mengizinkan, hanya 200 daripada 1,600 patung berkenaan dapat diperagakan di sini kepada orang ramai. Patung berkenaan kemudian 'berkampung' pula di Dataran Putra dari 2 hingga 4 petang. Patung daripada kertas kitar semula yang memulakan penjelajahannya pada 2008 melalui program kerjasama dengan pengukir Perancis Grangeon dan Tabung Alam Sedunia ini akan berada di Malaysia hingga 25 Jan tahun depan. Sebelum ini, ia dipamerkan di beberapa negara termasuk Perancis, Belanda, Itali, Jerman, Switzerland, Taiwan dan Hong Kong. Rombongan panda ini akan turut berkunjung ke beberapa lokasi ikonik lain di negara ini termasuk Batu Caves di Selangor, Menara Condong Teluk Intan (Perak), Tugu Negara (Kuala Lumpur) dan Stadthuys (Melaka). Kumpulan 1,600 patung panda ini menjadi simbol jumlah panda gergasi yang masih wujud di dunia sekarang. Sementara itu, seorang pengunjung Melissa Tan, 31, berkata persembahan 'flash mob of pandas' menimbulkan kesedaran dan mendidik generasi muda tentang kepentingan memulihara spesies terancam melalui pendekatan artistik. "Lebih banyak acara seperti ini patut diadakan kerana ia boleh menanam kesedaran dalam diri orang ramai tentang pentingnya memulihara panda," katanya. Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut tentang program ini dengan melayari laman Facebook '1600 Pandas MY'.