suria

13 Mangsa Bot Terbalik Dilaporkan Selamat - Polis

Mangsa banjir dari Kampung Jerat China menggunakan bot untuk menyelamatkan diri akibat limpahan air Sungai Galas di sini hari ini. Sementara itu, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan meningkat seramai 316 orang berbanding 1,328 pagi tadi kepada 1,644 orang tengah hari ini yang ditempatkan di 21 pusat pemindahan. --fotoBERNAMA

KOTA BAHARU: Sepuluh mangsa banjir dan tiga anggota tentera yang bot mereka naiki terbalik di bandar lama Gua Musang tengah hari Selasa, berjaya menyelamatkan diri.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supritendan Saiful Bahri Abdullah berkata kejadian itu berlaku akibat arus deras ketika anggota tentera berkenaan sedang mengangkut 10 mangsa banjir yang kesemuanya orang dewasa di kawasan Kesedar Inn ke pusat pemindahan.

"Kejadian berlaku ketika pasukan penyelamat sedang cuba mengeluarkan mangsa yang terperangkap di Kesedar Inn tengah hari tadi. Kesemua yang terbabit dapat menyelamatkan diri dan berlindung di bangunan Istana Persinggahan Gua Musang berhampiran tempat kejadian," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Selasa.

Saiful Bahri berkata arus deras di kawasan tersebut menyebabkan bot yang dinaiki mereka hilang kawalan lalu terbalik.

Beliau berkata 30 anggota termasuk polis, bomba dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dihantar ke lokasi kejadian untuk memindahkan mangsa terbabit dari bangunan Istana Persinggahan Gua Musang itu ke pusat pemindahan berdekatan.

Bagaimanapun sehingga pukul 6 petang, kesemua anggota penyelamat itu terpaksa berpatah balik berikutan arus deras untuk mereka sampai ke bangunan berkenaan.
 
"Keseluruhan tempat ditenggelami banjir dan menjadi seperti sebuah pulau. Bantuan udara amat diperlukan sekiranya usaha menyelamat menggunakan bot tidak berjaya," katanya.

Beliau berkata kira-kira 200 hingga 300 lagi penduduk masih terperangkap di beberapa kampung termasuk Kampung Batu Papan di sini, perlu segera dipindahkan. 
bot terbalik, selamat, mangsa banjir

Artikel Berikut

Artikel Lain