suria

Destinasi Impian: Sesuai Untuk Remaja Mencari Identiti - Pakar Psikologi

PETALING JAYA: Novel Destinasi Impian perlu dilihat dari sudut positif dengan mendalami nilai-nilai murni yang ditonjolkan melalui peranan dan usaha yang ditonjolkan menerusi watak-watak dalam penceritaan naskhah itu.

Dekan dan Pakar Psikologi Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM) Profesor Madya Dr Mariani Md Nor berkata, walaupun 'lelaki lembut' menjadi fokus utama novel, semua pihak perlu membuka minda dan melihatnya dari sudut pandangan yang lebih luas.

"Watak utama itu memang watak lelaki lembut, tapi kandungan keseluruhannya menceritakan tentang usaha keluarga, rakan dan dirinya sendiri untuk kembali menjadi lelaki sejati dan akhirnya berjaya.

"Usaha, menyahut cabaran, semangat, kasih sayang adalah contoh teladan yang boleh digunapakai semua pelajar, bukan untuk yang cenderung menjadi lelaki lembut sahaja. Melalui novel ini setiap pelajar nampak apa (kesan) yang elok dan tak elok," katanya kepada mStar Online.

Mariani berkata, beliau faham pemilihan novel ini sebagai buku teks sedikit-sebanyak mengundang kontroversi dan persepsi negatif, sekiranya dilihat dengan minda sempit dan pemikiran stereotaip.

"Ya, seolah-olah kementerian mengiktiraf kehadiran buku yang menceritakan tentang lelaki lembut.

"Itu agak nampak sedikit negatif, tapi sebenarnya apa yang diceritakan tidaklah keterlaluan sangat," katanya.

Namun katanya, dari segi psikologi, 'tidak menjadi masalah' apabila novel ini dipilih untuk dibawa masuk ke kelas-kelas pelajar Tingkatan Satu sebagai sebahagian daripada sistem pembelajaran.

"Sesuai sangat dengan umur 13 tahun yang baharu masuk peringkat awal remaja dan mahu mencari identiti...identiti yang ditonjolkan dalam penceritaan itu pula lebih membawanya ke arah positif," katanya.

Bagaimanapun, sebelum ini, beberapa pihak termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) dan juga Majlis Profesor Negara menekankan pentingnya peranan guru untuk memastikan pelajar tidak salah tafsir sepanjang mengikuti proses pembelajaran menerusi novel itu.

Mariani juga menambah, ibu bapa perlu bersikap terbuka dan tidak terlalu bimbang dengan naskhah itu kerana ia mengetengahkan realiti kehidupan di samping sarat dengan nilai-nilai murni.

Jelasnya, lelaki lembut bukan sesuatu yang asing dalam masyarakat dan tidak harus dipandang negatif.

Namun katanya, apa yang lebih penting semua pihak perlu tahu faktor berlakunya sifat tersebut dan tahu cara menanganinya.

"Kita tak boleh paksa lelaki lembut berubah jadi lelaki sejati sebab dalam diri lelaki lembut itu mungkin hormon perempuannya melebihi hormon lelaki.

"Mungkin juga pengaruh persekitaran, yang kita tahu faktor ini memang wujud dalam cerita di mana adik beradiknya yang lain semuanya perempuan, jenis lembut-lembut kecuali seorang adik perempuannya yang agak agresif tetapi tetap mahu abangnya menjadi seorang lelaki sejati," katanya.

Novel Destinasi Impian, karya Mohd Ismail Sarbini akan digunakan oleh pelajar Tingkatan Satu di sekolah-sekolah di Selangor, Wilayah Persekutuan, Putrajaya dan Negeri Sembilan bagi subjek Komponen Sastera (Komsas) bahasa Melayu.

Ia mengisahkan tentang Firdaus, seorang pelajar yang sering diejek dan dipandang rendah kemampuannya sebagai seorang lelaki kerana berperwatakan lembut.

Firdaus sering dicabar oleh rakan-rakan dan ahli keluarganya sendiri untuk melakukan sesuatu yang bertentangan dengan karektor dan identitinya dalam usaha menjadikan dirinya mempunyai ciri-ciri seorang lelaki sejati.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain