suria

10 Stesen KTM Di Pantai Timur Ditenggelami Air

Nawawi Ahmad.
KUALA LUMPUR: Sepuluh stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Berhad di Pantai Timur tidak dapat beroperasi akibat ditenggelami air disebabkan banjir kuat yang melanda kawasan itu. 

Pengerusi KTM Berhad Datuk Nawawi Ahmad berkata kesemua stesen yang terlibat ialah Chegar Perah, Merapoh, Gua Musang, Limau Kasturi, Bertam Baharu, Kemubu, Dabong, Bukit Abu, Manek Urai dan Krai.

"Disebabkan perkhidmatan intercity yang masih terganggu, para penumpang boleh menukar semula tarikh perjalanan atau pun mendapatkan pemulangan tambang penuh untuk perjalanan yang dibatalkan," katanya dalam sidang akhbar di sini, Jumaat.

Nawawi berkata lapan perkhidmatan tren di kawasan Chegar Perah hingga Tumpat dibatalkan sejak 22 Disember lepas, melibatkan perkhidmatan tren Intercity iaitu tren shuttle No. 70, 71, 72, 73.

Turut terlibat, tren ekspres No. 26, 27, 28 dan 29 iaitu Ekspres Wau dan Ekspres Senandung Timuran, katanya.

Nawawi berkata sistem mekanikal kereta api yang turut terjejas merangkumi lapan lokomotif, 19 koc, satu buffet (katering) serta empat generator dan dijangka mengambil masa lama untuk dibaik pulih.

Namun, katanya, kos kerugian dan baik pulih masih belum dapat diketahui kerana perlu melakukan proses penganalisis secara menyeluruh.

Dalam perkembangan berkaitan, Nawawi berkata KTM Berhad turut menyalurkan sumbangan sebanyak RM1,500 serta bekalan makanan kepada 177 kakitangannya yang terlibat banjir demi memastikan kebajikan mereka terus terjamin.

KTMB, pantai timur, banjir

Artikel Lain