"Peperiksaan tertangguh ini akan diadakan secepat mungkin untuk mengelakkan tekanan dihadapi oleh pelajar, seboleh mungkin sebelum semester berakhir bergantung kepada keadaan banjir.
"Mereka yang berada di Kampus Kesihatan yang sepatutnya menghadapi peperiksaan akan mengikuti program akademik dan aktiviti tertentu yang ditetapkan oleh pusat pengajian," katanya dalam kenyataan di sini, Jumaat.
Beliau berkata bagi pelajar lain di Kampus Induk dan Kampus Kejuruteraan yang terlibat dengan banjir diminta untuk mendaftar dengan Bahagian Peperiksaan Universiti atau di pusat-pusat pengajian menduduki peperiksaan semula.
Omar turut menasihati para pelajar supaya menjaga keselamatan diri, pemakanan dan membuat perancangan masa yang sesuai untuk kembali ke kampus terutamanya pelajar yang berada di luar kampus.
"USM memahami perasaan dan tekanan yang dihadapi para pelajar serta kakitangan terutamanya para pensyarah," tambahnya.
Pada 24 Disember lepas, USM membuka Bilik Gerakan Banjir di ketiga-tiga kampusnya dan bekerjasama dengan universiti lain menguruskan kepulangan para pelajar yang terlibat banjir untuk mengambil peperiksaan terutamanya di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perlis.