KEMAMAN: Mayat kedua mangsa bot terbalik yang dihanyutkan arus deras Rabu lalu ditemui anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dengan bantuan pihak polis tengah hari Sabtu di Kampung Geliga Che Akob di sini. Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Che Suza Che Hitam berkata mayat Suhaimi Awang, 37, ditemui kira-kira 10 meter dari lokasi mayat isterinya ditemui petang Jumaat. "Pasukan penyelamat menemui mayatnya yang tersangkut pada longgokan kayu pada operasi yang memasuki hari keempat," katanya di Hospital Kemaman. Dalam kejadian itu, bot penyelamat yang dinaiki pasangan berkenaan bersama tiga anggota bomba dan tiga mangsa banjir yang lain dalam perjalanan ke pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Geliga, apabila ia terbalik lalu karam selepas terperangkap dalam pusaran air. Mayat Nur Hayati Sulong, 37, yang juga guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Geliga ditemui pada Jumaat.