PUTRAJAYA: Pesakit kritikal di hospital yang terjejas banjir di Kelantan akan segera dipindahkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk mendapat rawatan lebih baik. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata sehingga kini seramai 35 pesakit dari Hospital Kuala Krai telah dipindah ke HUSM. "Tujuh lagi pesakit iaitu tiga dari Hospital Kuala Krai dan masing-masing dua dari hospital Tumpat dan Pasir Mas dijangkan dipindahkan hari ini," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kecemasan Kementerian Kesihatan bagi menghadapi banjir, di sini Sabtu. Beliau berkata pesakit tersebut akan dipindahkan dengan menggunakan helikopter Polis Diraja Malaysia atau Angkatan Tentera Malaysia, namun jika kedua-dua pasukan keselamatan itu tidak dapat membantu, kementerian akan menyewa sendiri helikopter. Katanya antara hospital lain yang tidak dapat berfungsi secara optimum ialah Hospital Gua Musang dan Hospital Tanah Merah. Dr Subramaniam berkata mesyuarat itu turut membincangkan pembekalan elektrik melalui generator, bekalan air bersih termasuk minuman, bekalan makanan serta bantuan tenaga kesihatan dari negeri lain. "Melalui kerjasama dengan Puncak Niaga, usaha sedang dijalankan untuk projek penapisan air di hospital terlibat. Dari segi makanan, kita juga akan membantu dan pada pagi ini kementerian telah menghantar 300kg makanan ke Hospital Kuala Krai. "Mengenai bantuan tenaga perubatan, hari ini seramai 72 jururawat dari Hospital Raja Perempuan Zainab 11 telah dihantar ke HUSM untuk membantu berikutan jumlah pesakit yang bertambah," katanya. Beliau turut menjangkakan 200 lagi kakitangan hospital dari negeri-negeri lain akan dihantar membantu hospital di Kelantan dalam masa terdekat. Katanya pasukan pergerakan kesihatan kementerian juga melawat semua pusat pemindahan bagi memberikan nasihat kesihatan serta rawatan. Mengenai bekalan ubatan, Dr Subramaniam berkata Pharmaniaga mempunyai perancangan sendiri bagi memastikan bekalan ubatan mencukupi. "Pharmaniaga telah membuat perancangan sendiri dan mempunyai helikopter bagi memastikan bahan dan perkakas perubatan kecemasan disalurkan ke semua hospital," katanya.