KUALA LUMPUR: Turun sendiri dan bantu mangsa banjir daripada menyebarkan berita tidak sahih di laman sosial. Demikian nasihat Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada pengguna media sosial yang menyebarkan berita tidak benar mengenai situasi banjir yang melanda beberapa negeri. "Simpan handphone dan turun sendiri bantu, rasa sendiri macam mana pasukan keselamatan tidak tidur malam bantu mereka (mangsa). "Jangan duduk di dalam bilik berhawa dingin dan sebarkan semua maklumat yang direka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat berhubung situasi terkini banjir di Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) di Puchong di sini Sabtu. Muhyiddin berkata dalam situasi bencana (banjir), memang tidak dinafikan banyak keadaan tidak selesa berlaku, namun keadaan tidak seburuk yang digambarkan dan kerajaan telah berusaha sebaik mungkin dalam menguruskan mangsa. "Kita kena faham, situasi di pusat pemindahan tidak selesa macam di rumah, makanan pun tidaklah selazat biasa, tapi kita telah membantu sedaya upaya untuk elak ratusan nyawa terkorban," tegas Muhyiddin. Sementara itu, katanya, Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang dijadikan pusat pengumpulan sumbangan daripada orang ramai untuk disalurkan kepada mangsa banjir terlibat. Bagaimanapun, Muhyiddin berharap pihak tentera dapat mewujudkan 'sub-centre' di negeri-negeri lain untuk memudahkan pengumpulan sumbangan. Mengulas sesi persekolahan yang dijadual dibuka 4 dan 5 Januari depan, Muhyiddin berkata kerajaan bersedia membantu menyediakan peruntukan bagi kemudahan persekolahan kepada mangsa terjejas banjir.