suria

Dua Beradik Maut, Tujuh Cedera Kemalangan Di Kuantan

KUANTAN: Dua beradik maut manakala lima lagi anggota keluarga mangsa cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki bertembung dengan sebuah Proton Preve di persimpangan Bunga Cengkih Jalan Kuantan-Bypass dekat sini, pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Abdul Aziz Salleh berkata dalam kejadian pada 1.20 pagi itu, mangsa yang maut ialah Mat Sharif Sulaiman, 37, seorang pemandu lori berasal dari Pasir Mas, Kelantan dan adiknya, Nur Mulaikhartini Sulaiman, 26, berasal dari Machang, Kelantan.

"Mat Sharif mati di tempat kejadian manakala Nur Mulaikhartini meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan," katanya.

Anggota keluarga mereka yang cedera ialah, pemandu MPV Ahmad Faisal Abu Bakar, 25, suami Nur Mulaikhartini, anak mereka Ahmad Farish Muzzafar berusia tiga tahun, penumpang hadapan Mohd Samsuri Sulaiman, 34, Siti Ramlah Sulaiman, 38, dan Adam Hariz Mohd Norizan, berusia setahun.

Menurut Abdul Aziz, pemandu Proton Preve, Dzulkifli Yaacob, 52, dan anak perempuannya, Nur Syahirah Dzulkifli, 21, dari Kampung Baru, Bentong turut cedera akibat nahas berkenaan.

"Nahas jam 1.20 pagi itu berlaku semasa MPV yang dinaiki tujuh sekeluarga terbabit dalam perjalanan dari Pelabuhan Kuantan menghala ke Gambang.

"Tiba di lokasi kejadian, MPV tersebut telah melanggar lopak air menyebabkannya hilang kawalan lalu berpusing dan naik ke pembahagi tengah jalan, lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Proton Preve dari arah bertentangan.

Mayat dihantar ke HTAA untuk bedah siasat dan kesemua mangsa yang cedera menerima rawatan di hospital sama, katanya.

Abdul Aziz berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian jalan basah dan licin disebabkan hujan lebat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
kemalangan, maut, Kuantan

Artikel Lain