PUTRAJAYA: Sebanyak 140 kontinjen yang disertai 12,325 peserta akan menyertai perarakan bersempena Sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan, di sini pada Sabtu. Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapha berkata kontinjen terlibat terdiri daripada 68 agensi kerajaan, 33 badan berkanun, 10 badan beruniform, 13 swasta, enam badan bukan kerajaan, enam institusi pengajian tinggi dan empat sekolah. "Kontinjen akan berarak sambil berselawat sejauh 1.8km bermula dari hadapan bangunan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan melalui Persiaran Perdana menuju ke Masjid Putra," katanya dalam kenyataan, Jumaat. Beliau berkata acara perarakan bermula 7.45 pagi dan dijangka berakhir pada 8.30 pagi. Othman berkata majlis perhimpunan kemudian akan berlangsung di Dewan Solat Utama, Masjid Putra bermula dengan bacaan doa dan ayat suci al-Quran diikuti ceramah agama yang mengupas tema sambutan Maulidur Rasul tahun ini, 'Perpaduan Nadi Transformasi Negara.' Beliau berkata pemilihan tema itu amat bertepatan dengan usaha kerajaan yang mahukan rakyat negara ini bersatu-padu, bekerjasama, saling menghormati dan menerima. Katanya Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan merasmikan majlis Sambutan Maulidur Rasul itu yang akan turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, menteri Kabinet dan perwakilan luar negara. Othman berkata sambutan Maulidur Rasul tahun ini bakal menyaksikan seorang penerima Anugerah Perdana dan lapan penerima Anugerah Maulidur Rasul. Penerima Anugerah Perdana akan membawa pulang wang tunai RM50,000, trofi dan sijil penghargaan manakala penerima Anugerah Maulidur Rasul menerima wang tunai RM20,000, trofi dan sijil penghargaan.