Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Zakaria Hussin berkata kerja gotong-royong kini sedang giat dijalankan untuk membersihkan semua sekolah tersebut dengan kerjasama ramai sukarelawan dari seluruh negara.
"Jika tiada halangan, kita jangkakan kerja gotong-royong ini akan selesai menjelang Selasa ini dan jabatan berterima kasih dengan kerjasama semua pihak yang membantu membersihkan kawasan sekolah terlibat," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Dungun mencatatkan jumlah sekolah yang paling banyak terjejas banjir serta dijadikan pusat pemindahan sementara iaitu sebanyak 26 buah, diikuti Kemaman (21), Kuala Terengganu (18), Besut (14), Marang (lima), Hulu Terengganu (empat) dan Setiu (tiga).
Sesi persekolahan 2015 di Terengganu sepatutnya bermula hari ini, namun ditangguhkan oleh Kementerian Pendidikan selama seminggu untuk memastikan semua sekolah benar-benar pulih dari banjir.