Liow yang juga Menteri Pengangkutan berkata, beberapa individu yang menuduh beliau mengabaikan cadangan itu telah membuat tuduhan tidak berasas.
Baru-baru ini ahli PAC, Tony Pua mendakwa Liow mengabaikan cadangan PAC yang dibuat pada 26 November lalu.
Antara lain, Pua mendakwa laporan PAC terhadap projek KLIA2 yang dilaporkan wujud 'salah urus' dan 'keputusan yang boleh dipertikaikan' sehingga menyebabkan berlaku kelewatan dan kos berlebihan dari RM1.7 bilion kepada RM4 bilion.
Liow turut menegaskan jawatankuasa audit yang ditubuhkan oleh Kementerian Pengangkutan merupakan isu berasingan daripada cadangan yang dikemukakan.
Tambahnya, ia adalah jawatankuasa keselamatan yang ditubuhkan untuk memeriksa dan mengesahkan keselamatan KLIA2 selain memastikan ia beroperasi dengan lancar dan selamat.
Beliau menafikan dakwaan bahawa Kementerian Pengangkutan sengaja untuk melengah-lengahkan atau menghalang AG daripada menyiasat isu tersebut.
Liow berkata, jawatankuasa audit telah mempengerusikan dua mesyuarat dan diminta untuk menyerahkan laporan bagi separuh pertama tahun ini kepada kementerian itu.