suria

Usah Buat Spekulasi Laluan Penerbangan AirAsia QZ8501 - Liow

KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai pada Isnin menasihati orang ramai agar tidak membuat spekulasi tentang laluan yang digunakan pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang mengalami nahas.

Katanya mereka perlu menunggu kerajaan Indonesia selesai membuat siasatan tentang dakwaan bahawa pesawat itu menggunakan laluan yang tidak dibenarkan pada hari ia hilang daripada pengesanan radar dan terhempas.

"Ini kerana kerajaan Indonesia mendakwa laluan itu tidak mendapat kelulusan, tetapi kerajaan Singapura berkata laluan itu mendapat kelulusan," katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan untuk mangsa banjir di Wisma MCA di sini.

Turut hadir timbalan presiden MCA Datuk Dr Wee Ka Siong, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datin Paduka Chew Mei Fun. 

Ditanya sama ada pihak berkuasa Indonesia memohon bantuan tambahan bagi operasi mencari dan menyelamat berkaitan nahas itu, Liow berkata kerajaan Malaysia telah menunaikan permohonan negara itu untuk mendapatkan khidmat penyelam dan setakat ini 100 penyelam telah dihantar. 

Katanya setakat Ahad, Malaysia diminta membantu membuat pencarian di kawasan meliputi 14,985 batu nautika, manakala tiga kapal negara ini beroperasi di kawasan yang ditetapkan di Laut Jawa.

Pesawat berkenaan terhempas di Laut Jawa berhampiran Pangkalan Bun di Kalimantan tengah ketika membawa 155 penumpang dan tujuh anak kapal dari Surabaya, Indonesia, ke Singapura pada 28 Disember lepas.

Terdahulu, mengenai bantuan kepada mangsa banjir, Liow, yang juga presiden MCA, berkata parti itu menerima sumbangan wang berjumlah RM365,000 dan barangan bernilai RM392,735 daripada sektor korporat dan badan bukan kerajaan.


AirAsia QZ8501, Liow Tiong Lai

Artikel Sebelum

CEO 1MDB Letak Jawatan

Artikel Berikut

Artikel Lain