NILAI: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan dua buah universiti Islam terkemuka Nigeria iaitu Al-Qalam University dan Ilorin University. Pada majlis yang berlangsung di USIM di sini, ketiga-tiga universiti diwakili Naib Canselor masing-masing iaitu Prof Datuk Dr Musa Ahmad (USIM), Prof Shehu G. Ado (Al-Qalam University) dan Prof Abdulganiyu Ambali (Ilorin University). Pemeteraian MoU itu disaksikan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Datuk Prof Asma Ismail. Ia diadakan bersempena 'Bengkel Kerjasama dalam Kepemimpinan bagi Pendidikan Tinggi - Wawasan daripada Perspektif Islam' mulai hari ini sehingga Rabu melibatkan lapan anggota delegasi. Program itu dianjurkan Kursi Kepemimpinan Islam di bawah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan USIM dengan kerjasama USIM 'Alamiyyah. Sementara itu, Musa berkata, memorandum itu bakal memberi manfaat kepada kedua-dua universiti sebagai rakan strategik dalam meningkatkan peluang serta potensi untuk pertukaran pelajar dan kakitangan. Ini, katanya, bagi memenuhi kehendak dan keperluan institusi untuk menggalakkan pemindahan kepakaran serta idea. Di samping itu, katanya pelbagai peluang akan diperoleh yang membolehkan sesi bengkel atau latihan dijalankan secara bersama serta penerokaan projek-projek penyelidikan dan pembangunan. Ini termasuk kerjasama dalam penerbitan untuk percambahan idea bagi isu kepimpinan dan pengurusan dalam Islam, katanya.