KUALA LUMPUR: Tiada pegawai tinggi polis yang akan terlepas daripada disiasat Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), kata Tan Sri Khalid Abu Bakar. Ketua Polis Negara itu berkata, pasukan anti rasuah itu juga bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan dan Unit Integriti Kementerian Dalam Negeri. Langkah itu, kata Khalid adalah untuk memastikan pemeriksaan secara rambang dilakukan untuk memantau kegiatan anggota dan pegawai polis bagi memerangi gejala rasuah dalam pasukan itu. "Jika JIPS menganggap sukar untuk melakukan ujian integriti secara rambang terhadap saya, mereka boleh berbincang serta bekerjasama dengan agensi berkaitan. "Tiada anggota polis yang terkecuali daripada diperiksa jabatan ini, termasuk saya atau timbalan saya," katanya selepas menghadiri seminar integriti di Pusat Latihan Polis di sini, Isnin. JIPS ditubuhkan Julai 2014 bertujuan untuk memperkasakan pasukan polis dengan memantapkan integriti pegawai di samping memastikan tugas dilaksanakan dengan mematuhi standard yang telah ditetapkan. Khalid juga menjelaskan bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mengubah strutktur JIPS sebagai badan bebas. Seminar sehari yang diadakan secara tertutup itu dihadiri 280 pegawai polis di sekitar Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang.