Ketika usaha carian besar-besaran memasuki hari kesembilan, para pegawai masih berharap cuaca buruk akan pulih untuk seketika bagi membolehkan penyelam sampai ke kawasan di mana sebahagian besar daripada pesawat Airbus A320-200 yang terhempas ditemui.
Hanya 37 mayat dijumpai setakat ini dari lokasi kejadian dan masih tidak ada tanda daripada perakam 'kotak hitam', yang merupakan kunci utama untuk menentukan punca kejadian yang berlaku pada 28 Disember lalu.
Ketua agensi SAR Bambang Soelistyo berkata tiga lagi mayat daripada kemalangan itu telah ditemui pada Isnin, tetapi hanya dua penyelam yang dapat turun untuk mencari bangkai pesawat di perairan pulau Borneo.
"Cuaca amat buruk. Jadi (kebanyakan) penyelam masih dalam keadaan bersiap sedia," kata Soelistyo kepada pemberita.
Pencarian dibantu oleh beberapa negara termasuk Amerika Syarikat dan Rusia, cuba diluaskan ke arah timur apabila dipercayai arus deras menyebabkan bahagian-bahagian kapal terbang dihanyutkan.
Terdahulu, pada Isnin beberapa pesawat berlepas dari bandar ini di Borneo, landasan kapal terbang yang paling hampir dengan kawasan bangkai, untuk menjelajah ke permukaan laut.
Bot laju telah digunakan untuk mencari mayat-mayat yang mungkin telah hanyut ke daratan.
Pegawai rasmi pasukan mencari dan menyelamatkan S.B. Supriyadi berkata pasukan carian telah menilai sama ada untuk mengangkat bahagian pesawat yang ditemui di dasar laut dalam usaha untuk mencari kotak hitam perakam data penerbangan.
"Kami berharap dapat mencari kotak hitam secepat mungkin," katanya.
"Jika ekor pesawat berada dalam keadaan terbalik dan pintu kotak hitam berada dalam lumpur, kita perlu menggali dasar laut dan ia akan menjadi satu tugas yang sukar. Kami berharap pintu kotak hitam menghala ke atas. "
Laporan oleh BMKG menyatakan kemungkinan besar punca kemalangan, berdasarkan gambar satelit infra-merah menunjukkan pesawat itu melalui awan dengan suhu -80 hingga -85 °Celsius.
Tetapi masih tidak jelas mengapa pesawat lain di laluan yang sama tidak terjejas oleh cuaca, dan penganalisis lain berkata tidak ada maklumat yang cukup untuk menjelaskan mengenai bencana itu sehingga perakam penerbangan telah ditemui.
Operasi ini telah memberi keutamaan terhadap mencari mayat mangsa. Beberapa mayat yang ditemui masih terikat di tempat duduk mereka.