suria

Lelaki Menyamar Pegawai Polis Dipenjara Lima Bulan

KOTA KINABALU: Seorang lelaki dihukum penjara lima bulan selepas dia mengaku bersalah menyamar sebagai pegawai polis.

Hakim Mahkamah Majistret Mohd Faiz Omar membuat keputusan berkenaan selepas tertuduh, Mohd Afifi Anun, 28, mengaku melakukan kesalahan itu di pondok keselamatan Grace Court, Sembulan kira-kira pukul 7 pagi, 28 Disember lalu.

Mohd Afifi dituduh melakukan kesalahan itu menurut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sebelum itu, Pegawai Pendakwa Insp Sharin Ali memberitahu mahkamah bahawa tertuduh bertindak menyamar sebagai pegawai polis dengan niat untuk meminjam sebuah motosikal jenis Honda yang disimpan berdekatan pondok keselamatan berkenaan.

Mohd Afifi dalam rayuannya memohon supaya hukumannya diringakan memandangkan dia tidak mempunyai pekerjaan tetap serta perlu menyara isteri, dua anaknya dan kedua-dua ibu bapa yang sudah tua. 

Artikel Lain