PETALING JAYA: Lapan pembantu bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan mengkaji tindakan undang-undang susulan tuntutan pemulangan wang pampasan bernilai RM2.6 juta. Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Diperbadankan (MBI) Selangor, Faekah Husin berkata, semua penerima wang pampasan itu akan mendapatkan nasihat peguam berhubung surat tuntutan tersebut. Tambah Faekah yang juga bekas Setiausaha Politik Abdul Khalid, beliau mengarahkan peguamnya untuk menuntut ganti rugi terhadap pengurusan baharu MBI kerana melanggari kontrak Skim Pelepasan Sepakat (MSS). "Saya telah mengarahkan peguam untuk melihat dari semua sudut undang-undang dan melakukan tuntutan balas yang tidak terbatas hanya untuk mendapatkan keseluruhan jumlah sehingga tamat kontrak, gantirugi bagi pecahjanji MSS (Skim Pelepasan Sepakat) dan kerosakan penghinaan yang dialami,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa. Faekah dikatakan penerima pampasan tertinggi yang mencecah RM700,000. Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai notis tuntutan pemulangan wang pampasan sebanyak RM2.6 juta kepada lapan bekas pembantu Abdul Khalid sebelum Mohamed Azmin Ali mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri. Mengulas lanjut, Faekah menafikan bahawa pembayaran wang pampasan melalui MSS kepadanya dibuat secara salah tanpa mendapat kelulusan secara sah. "Surat tuntutan juga gagal menyatakan dengan jelas sebarang pelanggaran undang-undang dan tatacara kewangan serta salah laku ketika pembayaran dibuat. "Saya kesal apabila pentadbiran hari ini bertindak melampaui batas yang luar biasa di dalam isu MSS ini. Pembayaran dilakukan setelah persetujuan di antara semua pegawai yang terbabit dengan pentadbiran terdahulu dicapai atas dasar kepercayaan dan sikap profesional semua pihak,” katanya sambil mengakui menerima notis tuntutan berkenaan. Selain itu, Faekah turut mempersoalkan laporan audit yang digunakan MBI dalam menuntut semula wang pampasan terbabit. "Laporan audit yang kononnya menjadi asas tuntutan adalah satu laporan yang cacat, tidak dilakukan secara profesional dengan menurut tatacara pengauditan yang betul serta berniat jahat. Audit tersebut juga cacat apabila dijadikan dokumen awam tanpa mendapat penjelasan pihak terlibat, termasuk mantan Menteri Besar Selangor sendiri. "Tindakan tidak profesional dalam memanipulasi audit cacat tersebut telah mewujudkan prasangka terhadap semua pihak yang terlibat membuat keputusan termasuk penerima pampasan,” katanya. Selain Faekah, tujuh individu lain yang menerima pampasan itu adalah Setiausaha Akhbar Abdul Khalid, Arfa’eza Abdul Aziz pula menerima pampasan RM413,000, termasuk RM55,000 sebagai ganti kepada notis tiga bulan, manakala Setiausaha Politiknya, Mustapa Mohd.Talib menerima RM265,000. Pembantunya yang lain didakwa dibayar antara RM97,000 dan RM230,000 masing-masing sebagai pampasan dan antara RM18,000 dan RM69,000 sebagai ganti kepada notis tiga bulan mereka. Sebelum ini, Abdul Khalid menyatakan pemberian pampasan kepada lapan bekas pembantunya itu dibuat mengikut undang-undang dan secara telus serta profesional.