JAKARTA: Pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) Jawa Timur telah mengenal pasti lapan lagi mayat daripada 162 penumpang dan anak kapal penerbangan AirAsia QZ8501. Ketua Jabatan Bencana dan Pengecaman Mangsa Polis Jawa Timur, Budiyono petang Rabu mengumumkan bahawa pasukan DVI telah mengenal pasti lapan mayat yang telah ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat di antara hari pertama operasi sehingga minggu lepas. "Berdasarkan data pengenalan utama, seperti gigi dan padanan DNA dengan bapa, mayat yang dilabel B007 adalah Ratri Sri Andriyani, wanita berusia 30 tahun yang tinggal di Surabaya," Budiyono memberitahu pada sidang media di Surabaya, Rabu. Mayat label B011 dan B012 masing-masing dikenalpasti sebagai Jou Christine Yuanita dan Soetikno Sia. Jou Christine Yuanita adalah wanita berusia 62 tahun, manakala Soetikno Sia adalah lelaki berusia 60 tahun. Kedua-duanya tinggal di Surabaya. Mayat dengan label B010 adalah Ruth Natalia Made Puspitasari, wanita berusia 26 tahun yang tinggal di Blitar, Jawa Timur. "Mayat dengan label B014 adalah Indah Juliansih, wanita berusia 44 tahun dari Surabaya. Kami mendapati data antemortem dan bedah siasat adalah sepadan, dan kami juga mendapati kalung dengan loket awalan huruf L pada badannya disahkan keluarganya adalah milik Indah, " katanya, sambil menambah label B017 adalah mayat pelajar lelaki berusia 17 tahun bernama Nico Giovani dari Surabaya. Di samping itu, mayat dengan label B023 dan B032 masing-masing adalah Rudy Soetjipto dan Stephanie Yulianto. "Rudy adalah lelaki berusia 54 tahun dari Malang (Jawa Timur), manakala Stephanie adalah seorang gadis berusia 14 tahun, yang tinggal di Probolinggo (Jawa Timur)," katanya. Secara keseluruhan, beliau berkata, polis telah mengenal pasti 24 daripada 40 mayat yang ditemui dari Selat Karimata di Laut Jawa. -The Jakarta Post / ANN