suria

Banjir: Balai Polis Perlu Dua Minggu Untuk Pulih, RM15 Juta Kos Baik Pulih

Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi (StaRT) PDRM, Datuk Pahlawan Zulkifli Abdullah melepaskan anggota Skuad Aman Wanita (Amanita) selepas penyerahan skuter elektrik Amanita PDRM pada Pelancaran Inisiatif Hijau Balai Polis Taman Tun Dr Ismail (TTDI) dan Penyerahan Skuter Elektrik Amanita PDRM di Kuala Lumpur, Rabu. -fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Operasi balai-balai polis di Kelantan, Terengganu dan Pahang yang terjejas akibat banjir dijangka pulih semula dalam masa sekurang-kurangnya dua minggu.

Pengarah Jabatan Sumber Strategik Dan Teknologi (StaRT) Datuk Pahlawan Zulkifli Abdullah berkata buat masa ini para anggota polis di balai-balai itu tetap beroperasi menggunakan kaedah manual khususnya penerimaan laporan polis.

"...tetapi kami masih ada data bank di ibu pejabat untuk mendapatkan semula maklumat laporan sebelum ini melalui Sistem Pengaduan Polis.

"Banyak juga timbunan kertas siasatan yang musnah akibat banjir ini dan penilaian ke atas dokumen rasmi sedang dijalankan untuk memastikan perkara ini tidak menjejaskan kes-kes di mahkamah," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran 'Inisiatif Hijau' Balai Polis Taman Tun Dr Ismail dan penyerahan skuter elektrik Amanita Polis Diraja Malaysia (PDRM). 

Zulkifli berkata kejadian banjir baru-baru ini telah menyebabkan operasi balai polis khususnya di Kuala Kerai dan Manek Urai, Kelantan tergendala, dan PDRM memerlukan RM15 juta bagi menampung kos pembaikpulihan aset di Kelantan sahaja.

"Polis khususnya dalam dua daerah di Kelantan, Kuala Kerai dan Manik Urai, memang terjejas habis; kenderaan polis di Kuala Krai sahaja hampir 90 peratus ditenggelami air," katanya.

Beliau berkata bagaimanapun bagi Terengganu dan Pahang kos pembaikpulihan mungkin lebih rendah.

Zulkifli menyifatkan bencana alam yang berlaku itu merupakan yang terburuk dan turut meluahkan rasa simpati terhadap pegawai dan anggota yang terjejas akibat banjir.

"Cuba bayangkan mereka ini perlu selamatkan keluarga tetapi dalam masa yang sama masih menjalankan tugas untuk menjaga keselamatan mangsa-mangsa banjir," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain