suria

KPM Giat Kumpul Data Persediaan Sekolah Terlibat Banjir - Dr Khair

KEMAMAN: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang mengumpul data lengkap mengenai persediaan semua sekolah terlibat banjir di seluruh negara sebelum sesi persekolahan bermula minggu depan.

Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof berkata pihaknya kini sedang mengumpul data lengkap mengenai sekolah yang terjejas di tiga negeri iaitu Pahang, Kelantan serta Perak melalui Jabatan Pelajaran Negeri masing-masing.

"Saya juga turut turun padang sendiri di Terengganu dan Pahang untuk melihat persediaan sekolah-sekolah yang terlibat yang mana kita nak pastikan sekolah selamat dibuka untuk sesi persekolahan.

"Sekarang ni kita ada maklumat beberapa sekolah yang masih belum bersedia dibuka dan dalam keadaan tidak selamat untuk dibuka. Maklumat sebegini akan dikumpul sebelum saya menghantar laporan dan merujuk kepada Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam beberapa hari lagi," katanya.

Beliau berkata mungkin juga ada beberapa sekolah yang tak dapat dibuka dan masih terjejas.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Puteh dalam rangka lawatannya ke tujuh sekolah terjejas teruk akibat banjir di daerah Dungun dan Kemaman di sini, Rabu. Turut hadir Pengarah Pelajaran negeri Terengganu, Zakaria Hussin.

Khair berkata berdasarkan tinjauan ke tujuh sekolah kritikal di Terengganu, pihaknya yakin semua sekolah di Terengganu akan dapat dibuka pada Ahad ini.

"Saya yakin semua sekolah di Terengganu dapat dibuka pada Ahad ini berdasarkan persediaan rapi yang sedang dilakukan semua pihak cuma ada beberapa perkara yang perlu diperkemaskan...kita turut mengumpul laporan penuh dari semua negeri mengenai kerosakan barangan yang terlibat untuk dibuat taksiran dan tindakan lanjut," katanya.

Dalam rangka lawatan tersebut, Khair turut melawat enam beradik yatim piatu yang kehilangan ibu bapa mereka iaitu guru Nurhayati Sulong, 37, yang terkorban bersama suaminya, Suhaimi Awang, 37, dalam insiden bot terbalik pada 24 Disember lalu di Kampung Paya Che Akob.


"Saya juga telah melihat komunikasi arwah dengan ketua pengawas peperiksaan dan semua kerja-kerja menanda kertas peperiksaan telah diselesaikan arwah, jadi tak timbul isu yang mana arwah tak sempat menandai semua kertas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diambil di rumahnya sewaktu insiden berkenaan," katanya.

Khair berkata kesemua kertas peperiksaan SPM berada dalam keadaan selamat dan tidak ada yang terjejas dalam banjir kali ini.

Artikel Lain