Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata tiga kapal yang masih terlibat dalam operasi SAR setakat Rabu ialah KD Perak, KD Kasturi dan KD Lekiu.
"Hari ini KD Pahang menamatkan operasinya dan ia digantikan dengan KD Perak kerana ia perlu diselenggara.
"Isnin lepas, KD Kasturi menggantikan KD Lekir yang menamatkan operasinya pada misi itu dan telah kembali ke Malaysia," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis "Perutusan Ulung 2015 Panglima Tentera Laut" di sini, Rabu.
Pesawat malang itu terhempas di perairan Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah di Indonesia.
Pada Selasa, Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas) mengesahkan telah menemui mayat 39 penumpang, dan sehingga kini identiti 16 daripadanya telah dikenal pasti oleh Pasukan Pengecaman Mangsa Bencana Jabatan Polis Republik Indonesia (DVI Polri).
Menyentuh mengenai penubuhan Pasukan Tindakan Khas Penerangan Mengenai Militan yang ditubuhkan Disember lepas, Abdul Aziz berkata pasukan itu diketuai Pengarah Perisikan Laut dan dianggotai Pengarah Agama TLDM.
Tujuan pasukan berkenaan adalah memberi penerangan mengenai ancaman kegiatan militan terhadap negara dan aspek keagamaan turut akan dibincangkan.