suria

Juruteknik Disyaki Sebar Maklumat Palsu Banjir Ditahan

Datuk Mazlan Lazim menunjukkan penyebaran maklumat palsu berkaitan banjir melalui laman sosial Facebook ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di Kota Baharu, Rabu. -fotoBERNAMA
KOTA BAHARU: Polis Kelantan menahan seorang juruteknik lelaki berusia 37 tahun yang disyaki menyebarkan maklumat palsu berkaitan banjir melalui laman sosial Facebook.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata lelaki itu ditahan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di Kuantan, Pahang, pada 10 pagi Selasa.

"Suspek dipercayai menyebarkan maklumat palsu melalui laman sosial Facebook kononnya bekalan makanan yang dibawa sebuah badan bukan kerajaan untuk dihantar ke Kuala Krai telah disekat oleh pihak berkuasa.

"Perkara ini menjadi viral pada 27 Disember lepas dan kita telah buat laporan pada 29 Disember seterusnya menahan seorang lelaki yang juga seorang juruteknik," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini Rabu.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Rosli Abdul Rahman.

Mazlan berkata lelaki itu kini direman tiga hari sejak semalam bagi membantu siasatan.

Menurut Mazlan polis kini sedang menjejaki seorang lagi lelaki berusia 30-an kerana dipercayai menyebarkan maklumat palsu melalui aplikasi WhatsApp. 

"Kita telah kenal pasti suspek dan akan melakukan tangkapan dalam masa terdekat...suspek dipercayai menyebarkan maklumat kononnya terdapat mayat bergelimpangan di Guchil, Kuala Krai," katanya.

Mazlan berkata kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Artikel Lain