KUANTAN: Seorang wanita Indonesia melecur hampir keseluruhan badan dan muka setelah disimbah dengan asid oleh teman lelakinya di sebuah rumah kongsi di Lebuhraya Aur Gading, Padang Tengku, dekat Kuala Lipis, Selasa, menurut polis. Ketua Polis Daerah Kuala Lipis Supt Abdul Razak Hassan berkata kejadian pada 1 pagi itu menyebabkan wanita berusia 49 tahun yang berasal dari Jawa itu dikejarkan ke Hospital Kuala Lipis sebelum dipindahkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh dan keadaannya kini koma. Katanya sebelum kejadian mangsa dipercayai telah bertengkar dengan teman lelakinya, 40, juga warga Indonesia yang tinggal di Seremban, Negeri Sembilan. "Difahamkan semasa mereka bertengkar, suspek mengeluarkan satu botol kaca mengandungi cecair dipercayai asid sebelum memaksa mangsa meminumnya. Mangsa kemudianya bertindak menepis tangan suspek menyebabkan cecair asid itu terkena pada badan dan mukanya menyebabkan suspek melarikan diri," katanya. Bagaimanapun, katanya polis berjaya menahan suspek ketika turun daripada sebuah bas di Stesen Bas Raub pada pukul 7.50 pagi hari yang sama dan menurutnya kejadian dipercayai berpunca cemburu.