suria

Rumah Kabin, PPR, Kem PLKN Antara Pilihan Penempatan Sementara Mangsa Banjir

Datuk Abdul Rahman Dahlan
PUTRAJAYA: Kerajaan menawarkan pelbagai pilihan penempatan sementara, termasuk rumah kabin dan Projek Perumahan Rakyat (PPR), kepada mangsa banjir Kelantan yang kehilangan tempat tinggal.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata aset-aset kerajaan seperti kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan perumahan kerajaan yang tidak dihuni juga dipertimbangkan dijadikan penempatan sementara mangsa-mangsa banjir.

"Kita menganggarkan 2,000 hingga 3,000 unit rumah musnah di Kelantan berikutan musibah banjir. Sehubungan itu, kementerian akan menyediakan perumahan sementara sehingga rumah kekal siap nanti. Kita sedang mencari pilihan-pilihan tertentu untuk menyediakan rumah sementara," katanya.

Bercakap kepada pemberita sebelum melepaskan Misi Bantuan Seketariat Hal Ehwal Bandar/Team RD 2015 ke Pantai Timur di sini pada Rabu, Abdul Rahman berkata pelbagai pilihan itu disediakan agar mangsa dapat memilih mengikut kesesuaian sementara menunggu rumah yang rosak diperbaiki atau dibina semula.

Beliau berkata 1,000 unit PPR di Gua Musang yang sudah siap sepenuhnya boleh dipindah masuk pada bila-bila masa manakala kabin yang diubah suai akan mengambil masa kira-kira sebulan sebelum boleh dipindah masuk. 

Berhubung rumah mangsa banjir yang musnah akibat ditenggelami air, Abdul Rahman berkata mereka boleh memilih sama ada membina rumah baharu di bawah projek perumahan secara berkelompok atau di atas tanah kerajaan negeri. 

"Kalau kerajaan negeri bagi tanah, kita boleh buat rumah kelompok seperti rumah teres yang lebih murah. 

"Kami juga difahamkan mereka yang mempunyai tanah sendiri mahu mendirikan rumah di atas tanah sendiri dan ini di bawah tanggungjawab Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah," katanya. 

Sementara itu, Abdul Rahman berkata kementeriannya memperuntukkan RM78 juta untuk kerja-kerja pembersihan pasca banjir di Kelantan. 

Beliau berkata kementerian akan bekerjasama dengan kerajaan negeri Kelantan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri itu bagi membersihkan longgokan sampah serta ternakan dan bintang yang terkorban dalam bencana banjir. 
 
"Aset-aset kita sudah masuk (ke negeri Kelantan) dan kerja-kerja pembersihan dijangka mengambil masa lebih seminggu. Namun, ia dilakukan mengikut keutamaan di mana sekolah, hospital, masjid dan kawasan awam akan dibersihkan dan diikuti kawasan perumahan. Selain itu, bangkai haiwan perlu ditanam secepat mungkin," katanya. 

Mengenai cadangan penubuhan suruhanjaya diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan skandal balak di Kelantan, Abdul Rahman berkata "yang penting sekarang, kita tumpukan kebajikan penduduk di Kelantan". 

"Rakyat Kelantan mahu kerajaan fokus kebajikan dahulu, kita akan selesaikan perkara itu kemudian," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain