KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) meminta pihak berkuasa agama menghebahkan kembali prosedur pelupusan naskah al-Quran dan buku-buku agama yang rosak akibat banjir. PPIM berkata sepanjang misi membantu mangsa banjir baru-baru ini, sukarelawan persatuan itu menjumpai sejumlah besar naskah al-Quran yang musnah dan diselaputi lumpur serta tidak boleh digunakan lagi. Dalam kenyataan pada Rabu, PPIM mencadangkan supaya kitab suci umat Islam dan buku agama yang rosak itu dikumpul dan dihantar ke masjid atau surau berhampiran untuk dilupuskan mengikut tatacara yang betul oleh pihak bertanggungkawab. "Kami berharap orang ramai dapat mematuhi adab-adab umum dalam menguruskan al-Quran seperti yang disyariatkan dalam Islam," kata PPIM.