suria

Dua Beradik Hilang Ketika Keluar Beli Minuman

Mohd Iman dan adiknya, Nur Alysyah belum ditemui sejak hilang malam Rabu.

JOHOR BARU: Seorang guru agama merayu kepada pihak yang menyembunyikan dua anaknya supaya mengembalikan mereka kepadanya.

Azriana Ahmad berkata, anak lelakinya, Mohd Iman Zafri, 11 meminta kebenaran untuk ke kedai berdekatan membeli minuman pada malam Rabu.

Beliau yang ketika itu sedang mengendalikan kelas pada aras dua bangunan rumah kedai itu membenarkan anaknya pergi kerana tahu dia sudah biasa dengan persekitaran kawasan di situ.

Ketika itu, ibu dua beradik itu tidak tahu Mohd Iman turut membawa adiknya, Nur Alysyah Zalfiera, 9 bersamanya.

Apabila Mohd Iman tidak kembali selepas 15 minit, Azriana bergegas mencari anak-anaknya.

Mohd Iman memakai kemeja t dan seluar panjang hitam, manakala adiknya mengenakan baju tidur putih dengan corak polka dot merah.

Kali terakhir mereka dilihat berada sekitar Jalan Pinang 52 di Taman Daya di sini, kira-kira 9.30 malam.

"Rakaman CCTV daripada kedai dobi menunjukkan kedua-dua beradik itu melintasi premis berkenaan tetapi pekerja di restoran di mana anaknya biasanya membeli makanan dan minuman mendakwa mereka tidak ke situ," katanya yang berpisah dengan suaminya.

Sementera itu, guru itu turut memuat naik beberapa gambar anaknya menerusi Instagram merayu kepada orang ramai supaya memaklumkan kepadanya atau polis jika mempunyai sebarang maklumat mengenai anak-anaknya.

Menurut ibu saudara kanak-kanak itu, Azrizah Ahmad, keluarganya membuat laporan polis berhubung perkara itu kira-kira pukul 10 malam pada hari sama.

"Dakwaan bahawa dua beradik itu sudah ditemui bersama bapa mereka adalah tidak benar," katanya.

Ketua Polis Daerah Johor Baru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, polis masih menyiasat kes berkenaan dan sebarang maklumat boleh menghubungi 07-2212999.



Taman Daya, Johor Baru, Mohd Iman

Artikel Berikut

G25 Bakal Temui PM

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan