suria

Jaga Tepi Kain Sendiri, kata Pemuda MIC Kepada SUA Baharu

KUALA LUMPUR: Pemuda MIC menggesa setiausaha agung parti itu yang baharu dilantik supaya 'jaga tepi kain sendiri' dan tidak mengeluarkan sebarang arahan kepada sayap parti itu.

Setiausaha Pemuda MIC, K Arvind berkata, Datuk G Kumaar Aamman tidak ada hak untuk mengeluarkan arahan kerana pelantikannya dipersoalkan.

"Sememangnya diketahui adanya arahan Pendaftar Pertubuhan (ROS) supaya diadakan pemilihan semula dan 23 jawatan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) adalah tidak sah.

"Perlembagaan parti juga menyebut bahawa setiausaha agung perlu dilantik di kalangan ahli CWC.

"Malah, ia juga dinyatakan Presiden (Datuk Seri G Palanivel) dalam kenyataan medianya pada 5 Januari," katanya pada sidang media, Khamis.

Beliau membuat kenyataan itu susulan surat yang dikeluarkan Kumaar Aamman kepada Ketua Pemuda MIC, C Sivarraajh pada 6 Januari memintanya supaya tidak mengeluarkan kenyataan media yang membidas parti dan Palanivel.

Minggu lalu, Sivarraajh meminta Palanivel  supaya mengkaji semula pelantikan Kumaar Aamman.

Arvind juga meminta kepimpinan parti supaya menyelesaikan isu berbangkit dengan ROS untuk menyelamatkan parti itu daripada dibatalkan pendaftarannya.

Katanya lagi, Ketua Penerangan Pemuda, P Punithan akan menghantar surat kepada Palanivel untuk menyatakan pandangan berhubung cara terbaik untuk menangani krisis dalam parti itu.

Pemuda MIC, Kumaar Aamman, CWC

Artikel Lain