suria

Skim Penggantian Bas Sekolah Ditamatkan Kerana Kurang Sambutan - SPAD

PETALING JAYA: Keputusan menamatkan Skim Penggantian Bas Sekolah oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berkuat kuasa 31 Disember lalu kerana ia kurang mendapat sambutan di kalangan pengusaha perkhidmatan itu.

Perkara itu didedahkan sumber dalaman suruhanjaya berkenaan kepada mStar Online.

"Maklum balas yang diterima di kalangan pengusaha amat mengecewakan. Oleh itu, skim tersebut ditamatkan," kata sumber.

Jelas sumber itu lagi, pada asasnya SPAD tidak merancang untuk memperkenalkan sistem baharu bagi menggantikan skim bantuan berkenaan.

Skim yang diuruskan oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) selama dua tahun bermula April 2013 itu sepatutnya berakhir pada April ini.

Susulan tindakan SPAD itu, ada dikalangan pengusaha menyifatkan tindakan tersebut akan merumitkan lagi keadaan ketika kemelut tambang bas sekolah masih belum bernoktah sehingga ke hari ini.

Bukan itu sahaja, isu ini turut dibidas Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan yang menegaskan skim bantuan tersebut sepatutnya diteruskan sejajar dengan usaha SPAD untuk memastikan industri bas sekolah yang mapan.

"Isu ini boleh menimbulkan kesangsian orang ramai termasuk pengusaha bas sekolah yang tentunya tidak berpuas hati dengan keputusan SPAD itu," katanya.

Terdahulu, Presiden Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (PPBSM) Amali Munif Rahmat memberitahu bahawa SPAD dalam surat bertarikh 18 Disember lalu memaklumkan skim tersebut akan digantikan dengan sistem pinjaman baharu yang lebih komprehensif.

Bagaimanapun menurut surat tersebut, sistem baharu yang akan diperkenalkan akan dicadangkan kepada kerajaan terlebih dahulu.

Amali Munif berkata, sekiranya tiada skim baharu diperkenalkan, dikhuatiri 500,000 pelajar di seluruh negara yang menggunakan kira-kira 5,000 perkhidmatan bas sekolah yang berusia lebih 25 tahun akan berhadapan masalah untuk pergi dan balik dari sekolah.

Malah katanya, pengusaha bas yang bergantung sepenuhnya kepada perkhidmatan ini akan hilang punca pendapatan.

Tambah beliau lagi, tindakan tersebut juga akan mendorong pengusaha bas sekolah beroperasi secara haram memandangkan kira-kira 5,000 bas sekolah sedia ada menghampiri usia 30 tahun.





















Artikel Sebelum

Zakiah Sihat - Polis Sabah

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan