suria

Zakiah Sihat - Polis Sabah

Zakiah Aliep

KOTA KINABALU: Anggota polis marin yang diculik, Konstabel Zakiah Aliep dalam keadaan sihat, walaupun pasukan keselamatan terputus hubungan dengan pihak yang bertanggungjawab melarikannya di kepulauan Jolo, selatan Filipina.

Menolak dakwaan bahawa anggota polis berusia 26 tahun itu menghidap malaria, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, maklumat yang diterima menunjukkan Zakiah dalam keadaan sihat.

"Kami tahu keadaannya kerana penculik berjanji tidak akan mencederakanya kecuali jika dia cuba untuk melarikan diri.

"Ketika ini, hubungan dengan mereka (penculik) terputus sementara kerana operasi tentera Filipina baru-baru ini yang menyebabkan kumpulan penculik itu terpaksa bergerak ke kawasan hutan tebal," katanya.

Jalaluddin berkata, usaha akan terus dilakukan bagi membebaskan anggota polis berkenaan sebaik situasi di negara itu kembali tenang.

Beliau berkata demikian berikutan kenyataan aktivis anti penculikan Filipina, Prof Octavio Dinompo bahawa Zakiah menghidap malaria.

Difahamkan, langkah mengurangkan hubungan antara kumpulan bersenjata Abu Sayyaf dengan isteri Zakiah perlu untuk memastikan usaha membebaskan anggota polis itu tercapai.

Kali terakhir Zakiah berhubung dengan isterinya, Sharifah Erna Berson kira-kira sebulan lalu.

Jalaluddin berkata, ketika ini, pihaknya mendapati ada kumpulan yang mengamalkan konsep culik untuk wang tebusan yang cuba mengambil kesempatan di atas situasi yang berlaku terhadap Zakiah.

"Kami akan berurusan terus dengan penculik dan merangka strategi untuk memastikan dia bebas menerusi rundingan," katanya.

Zakiah dilarikan dari kawasan pusat peranginan di Pulau Mabul, Semporna pada 12 Julai lalu dan dalam kejadian sama, rakanya, Koperal Abdul Rajah Jamuan, 32 terbunuh.


Sabah, Zakiah Aliep, culik, Jolo

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan