KOTA BARU: Syarikat penerbangan tambang murah negara, AirAsia Berhad terus menghulurkan bantuan bagi membantu mangsa banjir di Pantai Timur baru-baru ini. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Aireen Omar bersama 16 sukarelawan yang juga kakitangan syarikat penerbangan itu membantu dalam kerja-kerja pembersihan dan pembinaan semula penempatan masyarakat di kawasan yang dilanda banjir. Menerusi misi kali ini, kumpulan itu menghulurkan bantuan di Machang dan Kuala Krai. "Kelantan adalah salah sebuah negeri yang paling teruk dilanda banjir , dan kami bersimpati kepada mereka yang terjejas akibat bencana ini , termasuklah kakitangan AirAsia yang berpusat di stesen Kota Baru. "Kami menghulurkan bantuan seberapa banyak yang kami mampu bagi meringankan beban masyarakat yang melalui keadaan yang sukar ini dan berharap mereka dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa," kata Aireen. Syarikat penerbangan itu setakat ini telah membantu pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Mercy Malaysia , Muslim Care Malaysia, Ikram dan Pertubuhan Graduan Institusi Pendidikan Malaysia (Haluan) dengan menyediakan ruang kargo percuma bagi menghantar bantuan kemanusiaan seperti makanan , bekalan perubatan , pakaian dan keperluan lain. Sebanyak 36 tan barangan bantuan dihantar dan diedarkan di Kota Baru. Selain itu, AirAsia juga telah menyokong pelbagai sukarelawan seperti doktor perubatan, jururawat dan kaunselor dengan penerbangan untuk membantu di kawasan yang terjejas. Setakat ini, AirAsia telah menerbangkan 182 kakitangan perubatan dan sukarelawan secara percuma ke Kota Baru. Aireen berkata, selain barangan bantuan dan aktiviti pembersihan, Yayasan AirAsia dengan kerjasama MERCY Malaysia telah melancarkan kempen kutipan derma didalam semua penerbangan AirAsia. Kempen derma Pantai Timur Tabung Bantuan Banjir AirAsia sedang berlangsung dari 2 hingga 18 Januari melalui kutipan didalam penerbangan AirAsia dan dalam talian di www.airasiafoundation.com/relieffund .